Intisari Khutbah Jumaat Masjid Qariah Taman Kelisa

08/02/2015 10:03

Tarikh: 6 Februari 2015

Tempat: Masjid Qariah Taman Kelisa Ria

Intisari: Golongan Ahli Neraka Jahannam

Sumber rujukan: Ayat 24 - 25 Surah Qaf

أَلْقِيَا فِي جَهَنَّمَ كُلَّ كَفَّارٍ عَنِيدٍ (24) مَنَّاعٍ لِلْخَيْرِ مُعْتَدٍ مُرِيبٍ (25)

Maksudnya: 

(Setelah tiap-tiap orang yang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua-dua Malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): "Lemparkanlah kamu berdua, ke dalam Neraka Jahannam, tiap-tiap orang yang terus menerus kekufurannya; (24) "yang sangat-sangat menghalangi segala jenis kebajikan (yakni meliputi perkembangan Islam, pemberian zakat dan lain-lainnya), yang melanggar hukum agama, lagi yang ragu-ragu akan kebenaran,(25)

Sumber: Tafsir Pimpinan Rahman

Di dalam Al-Quran, Allah menyebut beberapa nama neraka. Nama Neraka Jahannam adalah nama yang paling banyak disebut oleh Allah. Berdasarkan ayat di atas, Allah telah menggariskan ciri-ciri ahli Neraka Jahannam seperti berikut:

  1. Golongan yang tegar dalam kekufuran
  2. Golongan yang sentiasa berusaha menghalang usaha-usaha kebajikan, memperkembangkan Islam dan pemberian zakat
  3. Golongan yang sentiasa melanggar hukum Allah
  4. Golongan yang sentiasa ragu-ragu dengan kebenaran ajaran Allah.

Justeru, marilah kita sama-sama muhasabah diri adakah kita termasuk dalam salah satu daripada golongan tersebut, waliyazubillah. Jika kita tidak tergolong dalam mana-mana golongan, maka sama-samalah kita istiqamah menjauhinya dan menjaga ahli keluarga kita, masyarakat kita daripada terjerumus ke dalam azab Neraka Jahannam.