Al-Tabligh

28/07/2012 22:44

Al-Tabligh adalah salah satu sifat wajib bagi para rasul dan nabi di samping sifat sidiq, amanah dan fatanah. Al-Tabligh bermaksud menyampaikan. Sifat kontra bagi Al-Tabligh ialah Al-Kitman (menyembunyikan). Justeru sifat al-Tabligh bermaksud ketelusan dalam sistem penyampaian. Para rasul diarah menyampaikan semua perintah dan ajaran Allah kepada umat masing-masing. Justeru mereka dilarang menyembunyikan perintah dana ajaran Allah daripada pengetahuan umat masing-masing.

Dalam kontek hubungan organisasi, maka al-Tabligh bermaksud penyampaian yang telus. Pemimpin organisasi ditegah daripada menyembunyikan sebarang kemunkaran yang boleh memusnahkan kepentingan warga organisasi dan awam.

Namun begitu amalan menyembunyikan maklumat hanya melibatkan aspek keaiban seseorang dan menjatuhkan maruahnya. Sebagai ketua sesebuah organisasi sudah semestinya kita akan menerima pelbagai maklumat atas kapasiti sebagai ketua organisasi.  Jika kita bukan ketua mungkin tiada siapapun akan mempedulikan kita apatah lagi untuk menyampaikan maklumat tentang kemunkaran dan keaiban. Berhati-hatilah apabila kita dilantik menjadi ketua. Kita kena tahu menbezakan antara kemunkaran dan keaiban yang melibatkan diri individu secara peribadi atau melibatkan kepentingan awam.  Perbuatan ketua organisasi mendedahkan keaiban subordinat sangat ditegah oleh Rasulullah dan baginda menegaskan bahawa Allah akan mendedahkan keaiban ketua tersebut di Akhirat kelak.

Ketua perlulah mengutamakan ketelusan dalam sistem penyampaian yang melibatkan pengurusan kepentingan awam.

Sama-samalah kita berusaha menerapkan amalan sunnah dan pentadbiran dan pengurusan organisasi agar organisasi menjadi baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur, memperolehi keberkatan dan rahmat Allah sepanjang masa.