Blog

Kursus Pembangunan Profesionalisme Pensyarah IPG

28/01/2015 11:19

Tarikh: 10 - 13 September 2012

Tempat: Marina Curve, Telok Batik

Refleksi Awal

Apabila menerima surat panggilan kursus, saya tertanya-tanya tentang skop dan objektif kursus yang tidak dinyatakan oleh pihak penganjur. Persoalan ini berbangkit kerana saya telah menjalani kursus induksi peringkat IPGM di langkawi selama seminggu dan telah menyempurnakan penyertaan dengan jayanya serta dianugerahkan sijil pengesahan penyertaan yang melayakkan saya menyertai keluarga IPGM yang sangat besar. Saya juga telah menghadiri kursus induksi peringkat IPGM yang dikelolalakan oleh IPGK Kampus Sultan Abdul Halim yang meliputi empat siri. Saya juga telah menerima sijil kejayaan menyempurkan penyertaan kursus sama seperti kursus pertama. Hakikatnya, kursus pertama dan kedua itu adalah sama iaitu kursus induksi pensyarah baru. 

Justeru, persoalan ini wajar saya bangkitkan. Apakah saya belum cukup terbangun dengan dua kursus yang sama. Adakah saya masih kurang profesional megikut pertimbangan pihak IPGM sehingga dipaksa menghadiri kursus pembangunan profesionalisme sedangkan saya telah dianugerahkan kenaikan pangkat sebagai Pensyarah Cemerlang Gred DG52 dan pada masa menjalani kursus ini saya sedangkan menunggu keputusan kenaikan pangkat ke gred DG54 sebagai Pensyarah Cemerlang setelah menjalani fasa pemantauan oleh pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti pada bulan Ogos sebelumnya.

Namun, saya tetap akur kepada arahan pihak IPGM untuk hadir kursus berkenaan. Seperti biasa saya telah melengkapkan segala keperluan seperti komputer riba dan bahan2 bacaan yang dijangka diperlukan kerana fitrah kerja dengan IPGM menghendaki kita hadir membuat kerja menggunakan komputer. Jangkaan saya sangat meleset apabila kehadiran kursus berkenaan bukan untuk membuat kerja, tetapi sekadar mendengar bebelan penceramah dan dirawat kesihatan, jiwa dan mental oleh kaunselor yang dipertanggungjawabkan.

Hari pertama bermula kursus tanpa objektif yang jelas dan tidak dimaklumkan kepada para peserta, semacam rahsia. Saya memperkenalkan diri dan menceritakan pengalaman berada di ipg serta berkongsi pengalaman fast track sebagai Pensyarah Cemerlang.

Hari-hari seterusnya berlangsung dengan dua aktiviti utama iaitu mental torture dan rawatan terapi minda dan jiwa. Setelah tamat sesi mental torture, para peserta akan diberi rawatan mental dan jiwa seperti pesakit psikiatrik atau pesakit jiwa. Saya mula mengesan perkara ini. Setelah berbincang dengan rakan-rakan, maka kami merumuskan bahawa kumpulan kami merupakan kumpulan pensyarah bermasalah di ipg masing-masing mengikut pertimbangan pengarah ipgk. Perkara ini berbangkit apabila kumpulan kami dikatakan banyak menimbulkan masalah berhubung protes tentang proses kenaikan pangkat yang dibuat secara tidak adil. Sekadar andaian berdasarkan analisis terhadap sesi mental torture yang banyak berkisar kepada isu kepatuhan kepada ketua. 

Hari-hari berlangsung begitu... antara rawatan yang diberikan ialah pemeriksaan kesihatan (tekanan darah), ujian stress, terapi pasir, terapi meditasi, sesi kaunseling. Betul-betul macam rawatan untuk orang gila.

Saya tidak berkongsi banyak dengan para peserta tentang perasaan dan pandangan masing-masing kerana saya tidak tinggal bersama mereka di apartmen yang disediakan kerana saya diiringi oleh isteri, maka menyewa hotel sendiri berhadapan kuarters TLDM. Saya cuma bertemu dengan para peserta semasa sesi rasmi sahaja. Saya jangka para peserta akan diberikan kemudahan penginapan mengikut kelayakan masing-masing iaitu saya layak untuk menginap sebilik seorang. Saya kurang terasa bahang luapan perasaan peserta yang tersimpan dalam. Sepanjang kursus itu saya sekadar memerhati dan banyak berdiam diri. Tidak banyak slot perkongsian ilmu yang sewajarnya itulah yang berlaku atau diberi keutamaan.

Seawal pagi pada hari terakhir, saya memberitahu urusetia (Dr Bushro) bahawa saya terpaksa pulang awal sebelum majlis penutup untuk menjemput anak di asrama. Majlis penutup dijngkakan jam 1100. Tiada halangan daripada pihak urusetia untuk membenarkan saya pulang lebih awal. 

Sesi pagi pada hari terakhir bermula seawal jam 0800 seperti biasa. Urusetia masih meneruskan sesi mental torture. Namun, penceramah telah dikejutkan dengan riaksi balas peserta yang luar biasa, agresif dan berani sehingga ada peserta yang bangun menepuk meja dan dengan berani bercakap sambil berjalan keliling bilik kursus. Suara masing-masing makin lantang, tambahan pada masa itu ada wakil perasmi daripada pihak IPGM. Pesserta mula meluahkan perasaan terbuku mereka. Dalam diam, saya menitiskan air mata mengenangkan nasib rakan-rakan pensyarah yang sememangnya sangat teraniaya dengan sistem pemprosesan kenaikan pangkat di IPGM. Kedapatan pensyarah yang telah menulis 13 buah buku masih berada di gred DG44. Apa pensyarah yang telah banyak kali membentang kertas di peringkat antarabangsa masih juga di gerd DG44. Berbagai-bagai pendedahan tentang kehebatan masing-masing telah dizahirkan, namun mereka telah dizalimi oleh pihak atasan ipgk (pada pandangan saya). Suasana pagi itu memang hangat. Penceramah sudah sudah tercabut taring, terdiam, lesi, nada suara sudah sukar kedengaran. 

Saya terpaksa bermohon diri selepas sesi pagi ditangguhkan untuk persiapan majlis penutup. Saya maklumkan kepada Dr Bushro untuk pulang. Semasa saya melangkah keluar, saya rasa langkah saya sedang diikuti. Aabila saya menoleh ke belakang, saya dapati Dr Bushro sedang mengikuti saya. Saya berpaling menghadap Dr Bushro, saya minta penjelasan kenapa dia mengikut saya. Jawapannya, saya nak tanya pandangan ustaz tentang kursus ini sebab ustaz tak bagi apa-apa respon sepanjang kursus berlangsung. Saya tanya; jawapan rasmi atau jawapan tidak rasmi? Dia minta jawapan tidak rasmi.

Ini jawapan saya:

Secara keseluruhannya saya rasa sedih atas penghinaan ini, rasa rasa terkilan atas layanan rawatan psikiatrik dan saya rasa membuang masa tanpa sebarang faedah yang boleh membangunkan profesionalisme saya. sebabnya:

  1. Saya rasa tidak puas hati kerana jangkaan saya tidak selari dengan realiti. Saya jangka pihak IPGM memerlukan sumbangan idea dan pandangan untuk penambahbaikan IPGM sendiri, tetapi realitinya adalah usaha pemutihan. Saya hadir dengan semangat untuk membantu IPGM menggembeleng usaha untuk mencapai wawasannya sebagaimana tercatat dalam gagasan The New IPG.
  2. Buang masa saya meninggalkan sesi interaksi bersemuka dengan para pelajar yang memerlukan tunjuk ajar demi menghadiri kursus yang sia-sia ini.
  3. Jangan perbodohkan para peserta yang memiliki kelayakan akademik sekurang-kurang peringkat sarjana dan beberapa orang memilki ijazah peringkat kedoktoran. Sebenarnya, kursus ini menzahirkan kebodohan orang yang mencalonkan nama saya. Sudahlah tidak mempunyai kelayakan akademik perinkat sarjana atau kedoktoran, bertindaklah pula macam orang bodoh.
  4. Tindakan pensyarah yang dilihat menentang pihak pengurusan ipgk dan ipgm sebenarnya adalah reflek kepada kelemahan IPGM dan ketua-ketua ipgk yang berlaku zalim terhadap mereka. Hakikatnya ketua-ketua itulah yang merupakan orang bermasalah dan sakit yang perlu dirawat.
  5. Ketua-ketua ipgk tidak menghayati dan mengamalkan kepemimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang saban malam bermuhasabah diri kerana bimbang berlaku zalim kepada rakyat sehingga menangis setiap malam. Kepemimpinan IPGM dan IPGK sudah hilang kewibawaan untuk berlapang dada dengan kritikan. 
  6. Kepemimpinan IPGM dan IPGK sering menyalahkan sistem. Sedangkan sistem itu ciptaan pihak IPGM sendiri yang bersifat baharu dan boleh mengalami perubahan demi kebaikan warganya. Sewajarnya pihak IPGK mengutamakan pensyarah yang lebih senior untuk urusan kenaikan pangkat bukan semata-mata berdasarkan merit LNPT semata-mata. Pihak IPGK sewajarnya mengemukakan senarai pensyarah yang sudah lama berkhidmat di IPGK terlebih dahulu dan menyimpan senarai pensyarah baru buat sementara waktu walaupun markah LNPT mereka lebih tinggi. Saranan ini wajar kerana LNPT tidak mencerminkan prestasi sebenar pensyarah. Keesahannya dan Kebolehpercayaannya masih menjadi pertikaian apabila ia dinilai secara holistik. Penilaian holistik sarat dengan emosi penilai. Manakala pensyarah baru yang berminat dengan pecutan kerjaya yang lebih pantas disarankan mengikuti laluan kerjaya sebagai Pensyarah Cemerlang kerana laluan ini tidak mengganggu laluan pemangkuan.
  7. Jika IPGM hendakkan maklumbalas dari bawah tentang situasi respon para pensyarah terhadap pengurusan kenaikan pangkat mereka, maka beritahu lebih awal supaya kita bersedia dan hadir dengan maklumat yang boleh membantu pihak IPGM meluruskan segala kesilapan yang telah berlaku. Bawa berbincang dalam bengkel-bengkel khas. 
  8. Saya rasa amat sedih sebab nama saya termasuk dalam senarai hitam di peringkat IPGM sebagai pensyarah bermasalah dan implikasinya sangat besar terhadap masa depan kerjaya saya. Semacam ada usaha untuk menyekat laluan kerjaya saya yang agak pantas.
  9. Saya yakin kursus ini adalah suatu usaha pemutihan terhadap golongan yang kuat bersuara dan tidak puas hati terhadap kepincangan yang berlaku berkaitan pengurusan kenaikan pangkat di IPGM kerana kursus ini dikelolakan oleh kaunselor IPGM. Ada semacam usaha membalas dendam kerana ada antara pensyarah ini telah membawa perkara kebobrokan kerja IPGM ke pengetahuan menteri. 
  10. Saya sarankan supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang. Hormatilah kewibawaan intelektual para pensyarah kita kerana ia adalah cerminan guru yang bakal kita bangunkan untuk menjayakan semua gagasan pendidikan nasional.
  11. Sebarang masalah berkaitan dengan pensyarah, sewajarnya diselesaikan di peringkat IPGK terlebih dahulu.
Sekian, wassalam.
 
Terserah kepada anda wahai para pembaca sama ada anda melihat isu ini secara positif atau sebaliknya. 

 

  

Items: 4 - 4 of 28
<< 2 | 3 | 4 | 5 | 6 >>