Abstrak kajian ponteng sekolah

17/07/2012 10:21

Kajian Kes Gejala Ponteng Sekolah
Oleh,
MD ZUKI BIN HASHIM
Jabatan Pendidikan Islam & Moral,
Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

Abstrak

Ponteng sekolah ialah fenomenon fitrah dalam dunia persekolahan para pelajar. Ia sentiasa menduduki tempat teratas dalam senarai salah laku pelajar di seluruh Malaysia. Ia juga seringkali mendahului kes-kes ponteng jenis lain. Masalah ponteng sekolah ini juga merupakan antara kes salah laku utama di sekolah yang terdiri daripada 1263 orang pelajar. Sekolah ini ialah sekolah harian dua sesi. 96.9% pelajarnya berbangsa Melayu. Sekolah ini terletak di kawasan luar bandar. Pengangkutan utama pelajar ke sekolah iaitu menaiki bas dan menunggang motosikal. Kedapatan juga pelajar yang datang dihantar oleh waris, menaiki basikal dan berjalan kaki. Data ponteng sekolah mudah diperoleh daripada Buku Rekod Kedatangan Pelajar. Data yang dikumpulkan kemudiannya dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS). Kutipan data berasaskan kehadiran pelajar bagi bulan Januari hingga April. Kajian dibuat untuk menyiasat tentang kedapatan hari pilihan para pelajar untuk melakukan salah laku ini. Persoalan kedua kajian ini ialah trend ponteng di sekolah ini setelah empat bulan persekolahan dijalankan. Persoalan kajian juga ditumpukan kepada wujudnya perbezaan purata ponteng setiap hari mengikut peristiwa. Persoalan kajian ini seterusnya tentang wujudnya perbezaan purata ponteng mengikut kumpulan jantina, tingkatan dan kelas. Dapatan kajian telah menzahirkan bahawa tidak kedapatan hari yang menjadi pilihan pelajar untuk ponteng sekolah. Kajian ini juga menzahirkan bahawa trend ponteng bagi empat bulan pertama menunjukkan peningkatan secara konsisten. Dapatan kajian ini juga mendapati bahawa wujud fenomenon ponteng ciptaan pihak sekolah iaitu apabila pihak sekolah mengelola sesuatu acara yang melibatkan bilangan pelajar yang ramai atau semuanya. Kajian ini juga turut menzahirkan bahawa kehadiran pelajar pada hari ujian amat tinggi. Kajian ini juga mendapati bahawa wujud perbezaan yang signifikan purata ponteng antara kumpulan jantina, tingkatan dan kelas. Justeru penyelidik mencadangkan agar purata ponteng harian yang konsisten perlu diminimumkan seberapa yang dapat dengan mengambil tindakan melalui prosedur sedia ada, mempamerkan senarai pelajar ponteng mengikut jumlah tertinggi sebagai amaran awal serta menyaring dan menyingkir pelajar ponteng. Pihak sekolah juga perlu bertindak segera untuk mengekang aliran ponteng yang semakin mengalami peningkatan melalui program kawalan "pesalah buang daerah" dan program perjumpaan waris pelajar ponteng. Pihak sekolah juga perlu mengaplikasi konsep kumpulan sasaran berfokus apabila mengelola sebarang acara. Pihak sekolah juga perlu menggiatkan peranan kaunselor pelajar agar memberikan tumpuan kepada kumpulan sasaran ini. Pihak sekolah mungkin boleh menggunakan kekuatan kesedaran positif para pelajaar terhadap kepentingan ujian untuk membuat dasar pemilihan hari ujian.



Read more: http://mdzuki.webnode.com/research/