Blog

Audit Susulan ISO 12102017

12/10/2017 15:54

Teguran: Taburan markah tugasan PIMK3033 Pengajian Sirah tidak merentas empat gred.

Asas teguran: Dalam proses audit peringkat awal di Unit Penilaian dan Peperiksaan (UPP) IPGKSAH, pihak juruaudit telah menemui bahawa kursus PIMK3033 taburan markahnya tidak merentas empat gred. Namun pihak juru audit tidak mengadakan audit silang ke atas saya. Tetapi dalam laporan yang dibentang pada majlis penutup tercatat kursus yang saya ajar dan saya sebagai penyelarasnya. Saya agak terkilan kerana tiada audit silang untuk memberikan peluang saya memberi penjelasan. Padahal dalam borang LAM-PT-06-03 saya telah nyatakan justifikasinya mengapa taburan berserak sedemikian, tetapi mungkin pihak audit tidak berpuas hati dengan justifikasi berkenaan. 

Sehari sebelum audit susulan, saya telah dimaklumkan oleh KJ JAPIM bahawa saya perlu beri justifikasi. Jawapan saya mudah bahawa saya tidak akan beri jawapan kerana pihak audit cuai semasa menjalankan tugas (bahkan ini boleh diberi teguran kerana pasukan audit tidak berintegriti) kerana tidak memberi pencerahan mengapa justifikasi yang saya berikan tidak diterima. Pada saya, justifikasi yang saya buat dalam satu perenggan telah memadai. 

Pada hari audit susulan, saya telah dimaklumkan untuk memberikan juga justifikasi berkenaan. Saya merujuk kepada UPP untuk melihat dokumen yang dirujuk oleh pasukan audit luar berkenaan. Saya dapati, KJ saya telah memberikan justifikasi sepanjang dua baris. Pada saya mungkin sudah memadai. Ketua UPP menjelaskan mungkin justifikasi itu terlalu ringkas. Saya ditunjukkan contoh yang telah dibuat oleh rakan-rakan saya yang lain. Hampir satu muka surat panjangnya. Namun justifikasi itu kurang bermakna bagi saya sebab tanpa bukti yang dilampirkan. Sebagai langkah reaktif, saya kembali ke bilik dan berusaha menyediakan justifikasi yang lebih terperinci. Sepanjang menyediakan laporan tersebut pihak UPP telah beberapa menelefon saya dan mohon dihantar saja mengikut laporan tersebut secara ringkas. Saya teruskan dengan menyediakan laporan tersebut dan meminta mereka supaya bersabar menunggunya. Akhirnya, saya berjaya siapkan laporan setebal enam muka surat yang mengandungi jadual markah dan jadual rubrik sebagai bukti untuk menyokong justifikasi saya.

Semasa menghantar laporan berkenaan, pasukan audit macam menyindir disebabkan laporan saya didapati tebal dan berkulit serta dibinding kemas. Saya jawab sepontan: "Nama lagi ISO, kualiti kerja mesti dijaga. Kalau nak kerja cara cingcai lebih baik tak perlu ada ISO". Saya duduk. Sambil menunggu respon daripada pasukan audit, saya membangkit beberapa isu berkaitan audit seperti berikut.

Dengan sindiran itu, saya mencetuskan berbahasan bahawa saya tidak tahu format untuk menulis laporan justifikasi berkaitan teguran ini kerana tiada format khusus sedangkan di mana-mana pun amalan ISO mesti menggunakan piawai borang atau format yang sama. Justeru, saya berusaha mengarang seberapa panjang yang boleh disebabkan justifikasi pendek yang berikan dalam borang LAM-PT-06-03 seperti tidak memadai bagi pihak audit, tetapi mereka tidak mempunyai format yang khusus. Maknanya, asal buat saja ok. Tetapi kenapa menolak justifikasi yang saya berikan? Saya nampak pasukan audit mula goyah dan berbincang sesama sendiri untuk membawa perkara ini ke pihak lebih atas bagi menyediakan borang atau format khusus. (Benarlah kata kawan saya yang juga bahawa kelemahan auditee kerana tidak berani berhujah dan menyebabkan pasukan auditor merasa mereka benar, tetapi isunya saya tidak diaudit pada sidang sebelumnya. Kalau saya diaudit, maka sudah tentu saya akan lantang berhujah dengan mereka. Rakan-rakan sekerja pun tahu sikap saya sebab saya ada asas, bukan sembarangan sahaja).

Items: 1 - 1 of 28
1 | 2 | 3 | 4 | 5 >>