Blog

Proses pembuatan keputusan kadang kala menjadi terlalu sukar.

31/03/2014 20:36

Setiap hari kita mesti membuat keputusan. Celik mata apabilan bangun dari tidur, maka sudah perlu membuat keputusan hinggalah kita tidur lena semula. Kadangkala proses membuat keputusan itu menjadi terlalu sukar dan menuntut pengorbanan yang banyak pula. Ini kali kedua saya menghadapi saat yang sangat sukar untuk membuat keputusan dalam kerjaya. Kali pertama terpaksa berhempas pulas untuk membuat keputusan sama ada menyertai warga besar IPG atau kekal sebagai pentadbir di sekolah pada tahun 2007. Hasil perdebatan dengan rakan-rakan, maka saya berjaya membuat keputusan yang saya kira sangat tepat. Penghijrahan ke IPG telah membuahkan hasil rezeki yang melimpah ruah. Terima kasih kepada rakan-rakan yang sanggup berhujah. Soal menang atau kalah dalam berhujah tidak menjadi keutamaan, tetapi resolusi yang jitu adalah hadiah buat kita semua. Sahabat-sahabat di sekolah berhujah mempertahankan saya agar kekal di sekolah kerana saya berada pada trek yang betul dan berpotensi untuk diangkat sebagai pengetua dalam sedikit masa sahaja lagi. Rakan-rakan di IPG yang sebelum ini pernah bekerja bersama di sekolah menyarankan agar saya berpindah ke IPG memandangkan kecemerlangan (kata Dr Maskiah Masrum, IPGKTI) saya akan lebih bermakna untuk dikongsi dengan bakal guru dan bintang kerjaya saya akan lebih bersinar. Namun Dr Zakaria Mohd Khazani (IPGKIK) meminta saya berfikir dua kali kerana status jawatan saya di sekolah mungkin ada baiknya. Alhamdulillah segalanya kelihatan menzahirkan kemurahan sifat rahman dan rahim Allah hingga saya berjaya berada pada tahap ini sekarang. Saya tidak berniat mengagungkan diri sendiri, tetapi ianya bermanfaat untuk dikongsi bersama warga pendidik dari segi pembangunan kerjaya.  

        Hari ini saya terpaksa berdepan dengan situasi yang mencabar juga walaupun tidak sehebat tahun 2007. Segalanya bermula apabila saya menerima dua pujuk surat berikut:

Apa implikasi kedua-dua surat ini? Pada pandangan saya secara peribadi, implikasinya mungkin begini:

  1. Jika kekal menerima pilihan pertama ( Menerima PC), risikonya kekananan saya dalam gred disandang berkurang dua bulan. Begitulah sebaliknya jika saya menolak pilihan pertama (Menerima TBBK), maka kekananan saya meningkat dua bulan lebih awal.
  2. Jika saya kekal menerima PC, maka saya akan kekal MEMANGKU gred tersebut hingga bulan Oktober 2014 dan terpaksa menunggu bebarapa bulan lagi untuk disahkan dalam jawatan di gred tersebut. Sedangkan jika saya menerima TBBK, maka jawatan itu sudah sah. 
  3. Jika saya kekal menerima PC, maka saya akan terus MEMANGKU jawatan itu untuk suatu tempoh yang panjang dan risikonya saya akan kehilangan beberapa faedah gred tersebut seperti hanya menikmati tangga gaji pada gred 52 ditambah dengan elaun memangku sahaja. Namun jika saya menerima TBBK, maka saya akan terus menerima kenaikan gaji di gred 54.
  4. Namun kedua-dua surat tersebut tidak menjejaskan sesiapa dalam persaingan perjawatan di IPG dan tidak melibatkan pertukaran tempat bertugas atas sifatnya sebagai Khas Untuk Penyandang. Gred hakiki saya ialah 44. 

        Buat masa ini, saya lebih cenderung untuk menerima TBBK. Namun saya menjadi gusar dengan status PC saya dan masa depan saya untuk memohon ke gred PC yang lebih tinggi pada masa akan datang. Saya sayangkan status PC saya kerana memperolehinya terpaksa menempuh jalan yang sangat mencabar, bersaing dengan diri sendiri dan terpaksa membuktikan kelayakan diri.

Jika anda mempunyai pandangan dan pengalaman, jemputlah kita berkongsi idea. Sahabat-sahabat yang terlibat dalam proses perjawatan di KPM mungkin dapat membantu.

Items: 8 - 8 of 28
<< 6 | 7 | 8 | 9 | 10 >>