Tugasan PTK DG44 2007

14/07/2014 09:30

RINGKASAN EKSEKUTIF

 

PIPP merupakan projek jangka masa sederhana ( 5 tahun ) KPM.  Projek yang dilancarkan pada 16 JanuarI 2007 ini mempunyai enam teras utama iaitu 1)membina Negara bangsa, 2) membangunkan modal insan, 3) memperkasakan SK, 4) merapatkan jurang pendidikan, 5) memartabatkan profesion perguruan dan 6) melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. SK merujuk kepada sekolah rendah dan sekolah menengah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekolah perkasa yang dihasratkan akan mempunyai ciri-ciri 1) infrastruktur lengkap, 2) menawarkan Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab 3) pencapaian akademik cemerlang, 4) sistem sokongan yang kuat, 5) iklim  sekolah yang sihat, 6) pelajar menguasai 3M, 7) beraspirasi nasional, 8) sakhsiah pelajar yang cemerlang, 9) pelaksanaan kokurikulum yang berkesan, 10) pelaksanaan kurikulum berasaskan pelanggan dan 11) pemimpin dan guru yang berkualiti.  Ciri-ciri tersebut telah dianggap oleh KPM sebagai suatu cabaran kepada mereka. Di peringkat sekolah pula, pemimpin perlu mendalami ilmu,  bersikap positif, memberikan komitmen yang tinggi, mempelbagaikan gaya kepemimpinan, menjadi pemimpin pendidikan, mengamalkan pembuatan keputusan secara kolektif berdasarkan dapatan kuantitatif, budaya kerja berpasukan, menubuhkan Unit R&D, mengaplikasi budaya Six Sigma, memperkemas sistem penyampaian, mengusahakan latihan untuk meingkatkan profrsionalisma guru.  Pihak sekolah juga perlu menggalakkan guru-guru terlibat dengan aktiviti hiliran, menjalankan kajian tindakan, menyemak dokumen PSPA, mengendali program berfokus kumpulan berasaskan headcount, agih guru untuk tugas P&P ikut opsyen, mantapkan penyeliaan berkesan dan sediakan modul berfokus. Dari segi kurikulum pula pihak sekolah perlu menawarkan mata pelajaran elektif berasaskan minat, keupayaan dan kerjaya pelajar,  melangsungkan proses P&P di kalangan lepasan PMR, menyediakan tusyen dan melengkapkan PSS. Kaunselor Pelajar perlu menumpukan kepada kaunseling individu dan kelompok, menjalankan kajian kes secara kualitatif, meningkatkan sakhsiah pelajar melalui kaedah amar makruf dan nahi mungkar dan menganjurkan latihan kepemimpinan pelajar. Pihak sekolah juga perlu membenarkan penglibatan berasaskan minat di bidang kokurikulum, mengaplikasi penglibatan menyeluruh, menyampaikan maklumat meritokrasi, perluas ganjaran kepada pelajar rajin, tambah bilangan peralatan, agih tugas tugas secara adil dan hubungkan aktiviti kokurikulum dengan kurikulum. Seterusnya pihak sekolah juga perlu berusaha meminimakan kes-kes salahlaku terutama ponteng sekolah, agih tugas guru disiplin kepada semua,  menetapkan watak sekolah, memeriahkan persekitaran sekolah dengan kata-kata hikmat dan melaksanakan program 3K untuk mewujudkan ilkim sekolah yang sihat. Pihak sekolah perlu menyediakan senarai semak keperluan prasarana, buat permohonan keperluan segera dan mengalirkan dana infrastruktur ke saluran yang betul serta memudahkan prosedur penggunaan kemudahan ICT. Pihak sekolah juga perlu melibatkan ahli-ahli PIBG dalam aktiviti sekolah, mengukuhkan hubungan dengan PPS, mengaktifkan Briged Komuniti dan bekerjasama dengan pengawal keselamatan. Pihak sekolah juga perlu perluaskan program KIAM2, melaksanakan program pemulihan dan menjalin perkongsian pintar dengan guru-guru j-QAF.  Sekolah juga perlu melaksanakan gagasan RIMUP, menerapkan prinsip Islam Hadhari dan Rukun Negara. Pihak sekolah juga perlu  mengadakan promosi tawaran mata pelajaran Bahasa Cina dan Tamil dan mengukuhkan reputasi mata pelajaran Bahasa Arab. Pihak sekolah mesti menubuhkan jawatankuasa PIPP di peringkat sekolah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PENDAHULUAN

 

Sistem pendidikan di Malaysia adalah antara yang terbaik.  Itulah hasrat kita untuk menjadikan sistem pendidikan di Malaysia bertaraf dunia setelah 50 tahun merdeka. Namun begitu kita tidak sewajarnya berlenak dalam zon selesa dan berpada dengan apa yang ada.  Kita perlu berusaha berkali ganda secara kolektif untuk merealisasikan wawasan ini. Kita perlu sentiasa berubah.  Perubahan yang berlaku hendaklah diiringi dengan unsur  penambahbaikan.  Usaha mengaktifkan projek intervensi oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ) melalui pembentukan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 diharapkan dapat memenuhi keperluan Negara semasa dan akan datang. 

 

LATARBELAKANG PIPP

 

Evolusi Dasar Pelajaran Kebangsaan telah bermula secara teratur dan diterima semua pihak melalui Penyata Razak 1957.  Dasar pelajaran terus dimantapkan lagi melalui Penyata Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961.  Sistem pendidikan kebangsaan terus berkembang dalam dua fasa iaitu fasa pertama ( 1961-1970 ) dan fasa kedua ( selepas 1970 ). Terdapat tiga peristiwa utama yang mempengaruhi fasa kedua ini iaitu peristiwa 13 Mei 1969, Dasar Ekonomi Baru dan Laporan Murad 1973. Pada tahun 1979, Jawatankuasa Kabinet telah mengemukakan laporan pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan beberapa syor tambahan. 

 

Perkembangan sistem pendidikan Negara telah menerima nilai tambah lagi apabila Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah diperkenalkan pada tahun 1983 dan diikuti dengan Kurikulum Baru Sekolah Menengah pada tahun 1989 ( Wong Khek Seng, 2003 ).  Kerajaan terus berusaha mengukuhkan lagi sistem pendidikan kebangsaan sehingga kini dengan memperkenalkan PIPP 2006-2010 yang dilancarkan dengan rasminya pada 16 Januari 2007.  

 

TERAS PIPP

 

PIPP telah diasaskan berdasarkan maklumat yang menyeluruh mengenai pencapaian KPM selama ini.  Namun begitu KPM masih melihat di sana masih terdapat ruang untuk dibuat penambahbaikan terhadap sistem pendidikan kebangsaan. PIPP umpama sebuah bangunan yang kukuh di atas enam teras utama iaitu Teras Pertama: Membina Negara bangsa, Teras Kedua: Membangunkan modal insan, Teras Ketiga: Memperkasakan SK, Teras Keempat: Merapatkan jurang pendidikan, Teras Kelima: Memartabatkan profesion perguruan dan Teras Keenam: Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan ( KPM, 2007).

 

SEKOLAH PERKASA

 

Teras Ketiga dalam PIPP ialah memperkasakan SK. Memperkasakan SK bermaksud meningkatkan kecekapan dan keberkesanan SK. SK didifinisikan sebagai sekolah rendah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan harian yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekolah perkasa yang menjadi inspirasi dan cita-cita kerajaan dan rakyat Malaysia menjelang tahun 2010 akan memenuhi ciri-ciri berikut:

Ciri Pertama: Pemimpin dan guru yang cekap, terlatih dan berkualiti.

Ciri Kedua: Pencapaian akademik cemerlang.

Ciri Ketiga: Penawaran dan pelaksanaan kurikulum berasaskan pelanggan.

Ciri Keempat: Pencapaian sakhsiah pelajar cemerlang.

Ciri Kelima: Penawaran dan pelaksanaan kokurikulum yang berkesan.

Ciri Keenam: Iklim dan budaya sekolah sihat.

Ciri Ketujuh: Infrastruktur lengkap dan berkualiti.

Ciri Kelapan: Sistem sokongan yang kuat dan mencukupi.

Ciri Kesembilan: Semua pelajar menguasai 3M.

Ciri Kesepuluh: Beraspirasi nasional.

Ciri kesebelas: Menawarkan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. ( KPM, 2007).

 

CABARAN KPM

 

Berdasarkan data yang telah dikumpul dan maklumat yang telah diproses, maka pihak KPM melihat bahawa masih wujud kelompangan yang perlu dipenuhi untuk memperkasakan sekolah kebngsaan. Kedapatan beberapa tuntutan yang perlu disegerakan. Terdapat juga beberapa cabaran yang sedang menunggu untuk ditangani sepanjang tempoh lima tahun ini (2006 – 2010).  Cabaran-cabaran itu telah digarapkan oleh pihak kementerian seperti berikut:

Cabaran Pertama: Meningkatkan peratus murid bukan bumiputera di SK.

Cabaran Kedua: Menyediakan dan meningkatkan kualiti prasarana.

Cabaran Ketiga: Menyediakan guru siswazah secukupnya.

Cabaran Keempat: Menjadikan SK beraspirasi nasional.

Cabaran Kelima: Memperluaskan programj-QAF ke semua SK.

Cabaran Keenam: Membasmi masalah tidak menguasai 3M.

Cabaran Ketujuh: Memantapkan program kokurikulum dan sukan.

Cabaran Kelapan: Menyediakan infrastruktur ICT yang lengkap untuk P&P dan pengurusan (KPM, 2007).

 

APLIKASI DI ORGANISASI ( SEKOLAH )

 

Pihak KPM telah, sedang dan akan melaksanakan pelbagai program untuk menjayakan sekolah perkasa ini.  Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, KPM telah menerima peruntukan yang besar untuk memartabatkan sistem pendidikan negara ke taraf dunia.  Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab jihad semua golongan pendidik di sekolah untuk menggerakkan aktiviti yang relevan bagi menyokong usaha pihak kementerian. Langkah-langkah yang perlu dilaksanakan mestilah mampu memenuhi tuntutan kesemua sebelas ciri Sekolah Perkasa.

 

Langkah-langkah pelaksanaan Ciri Pertama: Pemimpin dan guru yang cekap, terlatih dan berkualiti.

Pihak KPM akan melaksanakan latihan kepada Guru Besar dan pengetua, memantapkan pemilihan kriteria pemilihan pengurus sekolah, melatik pengurus sekolah melalui kaedah fast track,  membekalkan guru yang cukup mengikut opsyen, menambah bilangan guru mengikut kaum, memperkasakan 350 buah sekolah rendah dan memperluaskan program pensiswazahan Guru Besar ( KPM, 2007).

 

Hal yang membezakan antara sekolah perkasa dengan sekolah tidak perkasa ialah kepemimpinan pengetua itu sendiri ( Hussein, 1997).  Pengetua perlu melazimi budaya ilmu di kalangan staf sekolah. Galakan perlu diberikan kepada semua staf untuk menyambung pengajian ke peringkat yang paling tinggi.  Pengetua perlu mendalami ilmu pengurusan dan guru mendalami ilmu kaedah mengajar yang berkesan. Golongan yang berilmu akan melaksanakan kerja lebih cekap dan berkesan. Orang yang bekerja berasaskan pengalaman akan mengulangi kerja yang sama dengan cara yang sama.  Orang yang bekerja berasaskan ilmu akan melakukan kerja yang sama dengan cara yang berbeza.

 

Pengetua perlu bersikap positif, proaktif, futuristik, inovatif, kreatif dan imaginatif. Di samping itu pengetua juga  perlu memberikan komitmen yang tinggi kepada kepentingan sekolah. Dia bukan hadir sekdar untuk makan gaji, tetapi hadir untuk bekerja.  Merasa sayang untuk meninggalkan sekolah untuk urusan yang remeh. Pengetua juga perlu mempelbagaikan gaya kepemimpinan dan bersifat mudahsuai dengan orang dan keadaan. Mereka juga perlu menghayati dan mempraktis amalan-amalan kepemimpinan instruksional.  Selain dari itu, pengetua juga mesti menjadi pemimpin pendidikan yang terlibat secara langsung dengan proses P&P.  Pengetua perlu mengajar mata pelajaran yang mencabar dan melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Pengetua perlu mengotakan terlebih dahulu arahannya kepada guru sebelum dia membuat teguran kepada guru.

 

Bagi melengkapkan usaha pihak kementerian ini, maka pihak sekolah perlu menggerakkan daya usaha untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:

  1. Mengamalkan konsep pembuatan keputusan secara kolektif.
  2. Membudayakan etika membuat keputusan berdasarkan dapatan kuantitatif. 
  3. Menghidupkan budaya kerja berpasukan sepanjang masa.
  4. Menubuhkan Unit Kajian dan Pembangunan ( R&D ) untuk membantu pengetua membuat keputusan berasaskan pendekatan kuantitatif.  Di sekolah terdapat pelbagai jenis data seperti data ponteng bulanan, data EMIS, data markah setiap ujian, data demografi pelajar dan lain-lain lagi.
  5. Mengaplikasi konsep dan budaya Six Sigma ( Zero defect dan zero reject ) di kalangan staf untuk menjamin kualiti setiap proses dan sistem yang dilaksanakan.  Amalan ini penting untuk mengelakkan daripada mengulangi kecacatan yang sama pada masa akan datang dan menghindarkan daripada pembaziran sumber-sumber yang telah diamanahkan.  Six Sigma ialah suatu langkah pengukuran kualiti untuk mencapai kesempurnaan yang menggunakan metodologi Mengenalpasti - Mengukur  – Analisa  – Memperbaiki  – Mengawal ( DMAIC ) bagi memenuhi kepuasan pelanggan, meningkatkan keuntungan dan mengecilkan kecacatan sistem dan produk dengan anggaran 3.4 kesilapan daripada sejuta peluang ( DPMO ) ( sixsigmaonline.org, 2007).
  6. Memperkemas sistem penyampaian maklumat agar lebih berkesan seperti mengadakan mesyuarat bulanan pasukan pengurusan, mesyuarat jawatankuasa-jawatankuasa mengikut jadual, mengadakan taklimat pagi, papan kenyataan dan laman web sekolah.

 

Pihak sekolah seterusnya perlu mengusahakan latihan untuk guru-guru sekurang-kurangnya tujuh hari setahun bagi meingkatkan kecekapan mereka. Pihak sekolah perlu mengelola aktiviti-aktiviti untuk meningkatkan profesionalisma di kalangan guru bagi melaksanakan tugas berkaitan kerjaya mereka supaya lebih bertanggungjawab terhadap ketua, rakan sejawat, pihak berkepentingan atasan dalam pendidikan, pelajar dan para waris pelajar.

 

Langkah-langkah pelaksanaan Ciri Kedua: Pencapaian akademik cemerlang.

KPM akan berusaha untuk memantapkan pencapaian akademik para pelajar dengan meletakkan sasaran bahawa menjelang tahun 2008 semua SK akan melepasi standard minimum pencapaian UPSR, SPM dan STPM.  Kementerian juga akan memperluaskan program latihan guru untuk kelas bercantum, kelas pendidikan khas dan kelas pemulihan khas.  Pihak kementerian juga akan berusaha memantapkan program pemulihan, pengayaan, pengukuhan dan kelas pembelajaran ringan.  Pihak kementerian juga akan memastikan tiada pelajar yang tercicir dari sistem pendidikan nasional ( KPM, 2007).

 

Hasrat murni pihak kementerian ini perlu dimantapkan lagi dengan sokongan jitu daripada pihak sekolah.  Oleh sebab itu pihak sekolah perlu menggalakkan dan mewajibkan guru-guru terlibat dengan aktiviti hiliran iaitu:

  1. Bermula daripada menyatakan masalah yang dihadapi oleh calon di peringkat nasional berasaskan pengalaman guru-guru berkhidmat dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM ) atau Majlis Peperiksaan Malaysia ( MPM ).  Pernyataan masalah juga boleh didapati daripada laporan tahunan LPM atau MPM.
  2. menggubal soalan mengikut konstruk berasaskan Jadual Penentu Ujian,
  3.  memeriksa jawapan pelajar berasaskan piawai pemeriksaan yang diamalkan oleh Lembaga Peperiksaan,
  4. membuat analisis mengikut konstruk sama ada dengan menggunakan perisian Microsoft Excel, Statistical Package For Social Sciences ( SPSS ),  atau Microsoft Access.  Analisis ini juga boleh menggabungkan ketiga-tiga perisian sekaligus.

Bil

Nama

J

T

K

Σ

%

isi5a

jum5a

isi5b

jum5b

Terj

J-baca

J-tulis

sukatlps

Hafaz

Ramaldpn

Minatsirah

1

Abdul Salam

1

3

2

28

44

5

2

4

2

1

0

1

4

8

6

2

2

Amir Ariff

1

3

2

21

33

4

4

3

2

5

4

1

3

0

2

0

3

Jamal

1

3

2

35

55

2

4

2

2

5

8

0

4

8

2

2

 

Jadual menunjukkan lembaran markah pelajar berdasarkan konstruk soalan.

     

Graf Bar dan Keluk Taburan Normal Jumlah dan Peratus Markah.

 

 

Jadual menunjukkan contoh analisis Paired Samples Test

 

  1. menyediakan laporan,
  2. menyediakan modul dan melaksanakan modul.  Contohnya, Modul b-tech-to-b yang mengandungi tiga komponen iaitu bengkel teknik menjawab, latih tubi maksud istilah dan latih tubi soalan mencabar minda bagi mata pelajaran Pendidikan Islam.
  3. menguji semula pelajar dengan soalan yang sama ( test retest ) atau hampir sama. Jika ada penambahbaikan, maka perkukuhkan modul dan jika sebaliknya, maka buat pengubahsuaian modul. 
  4. Pihak sekolah juga perlu menetapkan objektif satu kajian tindakan untuk setiap mata pelajaran setahun.

 

Pihak sekolah seterusnya perlu menyemak dokumen Perancangan Strategik Pencapaian Akademik ( PSPA ) 2006-2010 setiap bulan dalam mesyuarat pengurusan untuk mendapatkan maklumbalas dan membuat pengubahsuaian jika perlu. Prestasi perbandingan antara visi dan misi dalam PSPA dengan pencapaian sebenar perlu dipamerkan di laluan utama guru dan pelajar. Usaha ini akan menjadi tekanan positif kepada semua pihak untuk bergerak sehaluan bagi mencapai visi dan misi sekolah dalam jangka masa yang ditetapkan.

 

Langkah-langkah lain yang wajar dipertimbangkan untuk dilaksanakan ialah:

  1. Menggiatkan aktiviti-aktiviti sokongan yang berfokuskan kumpulan sasaran berasaskan laporan headcount.  Eksploitasi dapatan headcount membolehkan pihak sekolah menetapkan kumpulan sasaran kuantiti dan kualiti secara lebih realistik dan boleh dipercayai.
  2. Mengagihkan tugas pengajaran di kalangan guru secara adil untuk mengelak daripada perasaan tidak puashati yang akan mengakibatkan tiada semangat bekerja.
  3. Memperkukuhkan lagi program pemantauan kurikulum berkualiti atau penyeliaan berkesan.  Selaraskan instrumen penilaian P&P agar tidak membebankan kerja penilai.
  4. Menyediakan modul latihan berfokus yang bertujuan mengatasi kelemahan calon dalam aspek yang telah dikenalpasti.

 

Langkah-langkah pelaksanaan Ciri Ketiga: Penawaran dan pelaksanaan kurikulum berasaskan pelanggan.

PIPP telah memperlihatkan kesungguhan pihak kementerian untuk memperkasakan SK.  Kementerian merangka untuk mengadakan program untuk pelajar pintar cerdas, memantapkan kurikulum untuk pelajar bermasalah pembelajaran, memantapkan modul P&P murid pemulihan, mengkaji kerelevenan kurikulum sedia ada, memperluaskan mata pelajaran MPV, memperluaskan penawaran mata pelajaran bahasa antarabangsa, membina kurikulum kemahiran yang sesuai dan memperluaskan Pendidikan Khas Integrasi ( KPM, 2007).

 

Idealisma hasrat KPM ini hanya akan dapat dicapai dengan adanya kerjasama dan komitmen pihak sekolah untuk turut serta merealisasikannya.  Justeru itu pihak sekolah perlu melaksanakan langkah-langkah berikut:

  1. Menawarkan mata pelajaran elektif berasaskan minat dan kemampuan pelajar di samping mata pelajaran teras.  Penawaran mata pelajaran elektif mestilah berasaskan keupayaan pelajar untuk menguasainya.  Pelajar akan hilang minat terhadap mata pelajaran jika ia membebankan mereka. 
  2. Melaksanakan kesinambungan proses pengajaran dan pembelajaran di kalangan pelajar tingkatan tiga untuk beberapa bab tingkatan empat selepas mereka menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR ).
  3. Menyediakan pakej mata pelajaran kepada pelajar berasaskan kerjaya yang sesuai dengan minat mereka.  Ujian ke atas kecenderungan pelajar boleh dilakukan oleh Kaunselor Pelajar.  Jika terlalu banyak mata pelajaran yang diambil ia akan menyusahkan pelajar untuk memilih jurusan pengajian seterusnya.

 

Pihak sekolah juga perlu membenarkan pelajarnya untuk mengambil apa jua mata pelajaran yang diminatinya secara persendirian dan berusaha mendapatkan kelas tuisyen untuk pelajar berkenaan.  Pihak sekolah tidak sepatutnya terlalu memikirkan peratus lulus peperiksaan sehingga menjejaskan peluang para pelajar. Pihak sekolah juga perlu mempertingkatkan kemudahan Pusat Sumber Sekolah (PSS) agar memenuhi keperluan para pelajar dengan menyediakan ruang yang selesa, buku dan bahan rujukan yang pelbagai, prosedur pinjaman yang mudah dan  PSS bersifat mesra pelanggan.

 

Langkah-langkah pelaksanaan Ciri Keempat: Pencapaian sakhsiah pelajar cemerlang.

Sudah lama kita garapkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan dengan jelas bahawa ouput sistem pendidikan kita ialah insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.  Itulah gambaran pelajar bersakhsiah cemerlang yang diidamkan.  Pendekatan Islam Hadhari pula mengukuhkan lagi hasrat ini dengan mengusulkan pembangunan modal insan.

 

Namun begitu semakin bersungguh kita untuk membentuk modal insan yang seimbang, maka banyak pula kes-kes salahlaku serius yang dilaporkan berlaku di sekolah.  Ini adalah satu cabaran rumit yang mesti diberi perhatian oleh pihak sekolah.  Pelajar dari sekolah terpilih dan berteraskan ajaran agama sanggup melakukan salahlaku buli yang melampau.  Ini bermakna tiada keseimbangan antara intelek ( IQ ) dan emosi (EQ ).  

 

Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab pihak sekolah untuk melaksanakan langkah-langkah perlu seperti berikut:

  1. Mendifinisi semula tanggungjawab Kaunselor Pelajar (KP) supaya menumpukan kepada tugas utama mereka iaitu kaunseling individu dan kelompok.  Kebelakangan ini didapati KP sering ditugaskan atau melaksanakan kerja yang lebih bersifat pengurusan acara atau majlis yang melibatkan jumlah pelajar yang besar.  Keadaan ini menyebabkan mereka hilang fokus dan tidak membantu meningkatkan sakhsiah pelajar.
  2. Menjalankan kajian kes berasaskan pendekatan kualitatif ke atas pelajar yang rendah sakhsiahnya.  Kajian kes merupakan kaedah yang sangat popular di Amerika Syarikat.
  3. Selain daripada pendekatan yang disarankan oleh pihak KPM, pihak sekolah juga boleh meningkatkan sakhsiah pelajar melalui kepelbagaian pendekatan sebagaimana yang dicadangkan oleh Imam Al-Ghazali (1980). Beliau telah mengatur susunan tindakan amar makruf dan nahi mungkar dengan penuh teliti iaitu dimulai dengan tindakan ta’aruf atau memaklumkan peraturan, melarang, memberi nasihat dan pengajaran,  memaki atau mengherdik, merubah dengan tangan,. mengancam dengan pukulan, memukul dan memukul  bersama   orang lain.
  4. Melatih kepemimpinan pelajar di semua peringkat.  Latihan kepemimpinan dalam unit pasukan pengawas sekolah, jawatankuasa pengurusan kelas, jawatankuasa Asrama Lima Bintang dan unit-unit di bidang kokurikulum.

 

Langkah-langkah pelaksanaan Ciri Kelima: Penawaran dan pelaksanaan

kokurikulum yang berkesan.

KPM merangka untuk menambahbaik aktiviti kokurikulum melalui penglibatan semua kaum menerusi konsep RIMUP dan membudayakan sukan untuk semua dan sukan berprestasi tinggi.  Kementerian juga akan meningkatkan penglibatan pelajar melalui penambahan bilangan jurulatih bertauliah dan menyediakan kurikulum khas untuk kokurikulum ( KPM, 2007).

 

Pihak sekolah perlu bergerak seiring dengan langkah pihak kementerian.  Oleh sebab itu pihak sekolah perlu menyediakan peluang penglibatan berasaskan minat pelajar.  Pihak sekolah perlu menyokong minat pelajar terhadap bidang kokurikulum yang mereka suka.  Jika kedapatan bilangan pelajar terlalu ramai dalam sesebuah kelab atau persatuan, maka pecahkan kelab atau persatuan kepada beberapa unit.  Contohnya; jika terlalu ramai berminat menyertai pasukan Kadet Remaja Sekolah ( KRS ), maka pihak sekolah boleh menubuhkan unit-unit khas yang mewakili unit uniformlain seperti unit perubatan ( yang akan akan berperanan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah ), unit kemasyarakatan ( yang akan berperanan seperti pasukan pengakap ) dan unit keselamatan ( yang akan berperanan seperti pasukan kadet polis ).

 

Pihak sekolah juga perlu mengaplikasi konsep penglibatan menyeluruh sebagai ahli kelab dan peserta acara-acara yang dijalankan.  Amalan konsep penglibatan menyeluruh dari segi keahlian dan penyertaan acara akan menjadikan aktiviti kokurikulum lebih meriah. Seterusnya menyampaikan ( delivery ) maklumat mengenai pelaksanaan merit kokurikulum sebagai asas kelayakan ke Institusi Pengajian Tinggi ( IPT ) kepada semua pelajar.  Di samping menyokong misi pihak kementerian, ia juga akan menarik penglibatan pelajar terhadap aktiviti yang dianjurkan.  Penyertaan yang maksima di kalangan pelajar akan mendorong motivasi guru untuk mengelolakan aktiviti. 

 

Langkah-langkah lain yang perlu dilaksanakan ialah memperluas sistem pemberian ganjaran yang tidak terbatas kepada pelajar yang berjaya sahaja, tetapi juga kepada pelajar yang memegang jawatan penting dan rajin mengikuti aktiviti, menambah bilangan peralatan dan kemudahan agar nisbahnya sesuai dengan jumlah pelajar, mengagihkan guru penasihat dan jurulatih secara adil dan dengan pemberatan yang saksama dan seterusnya menghubungkan aktiviti kokurikulum dengan sukatan kurikulum agar pelajar dapat menikmati manfaatnya secara langsung dan menjadikannya sebagai medan latihan amali untuk lebih memahami pengajaran di bilik darjah.

 

 

 

Langkah-langkah pelaksanaan Ciri Keenam: Iklim dan budaya sekolah sihat.

Iklim dan budaya sekolah yang cemerlang dan sihat menjadi harapan pihak KPM untuk memperkasakan SK dan memartabatkan sistem pendidikaan nasional hingga ke taraf dunia. Hasrat ini akan diusahakan sehingga tercapai dengan membangunkan iklim sekolah yang kondusif dan meminimakan masalah disiplin melalui penubuhan jawatankuasa bertindak di peringkat PPD, JPN dan KPM (KPM, 2007).

 

Iklim dan budaya sekolah merujuk kepada persekitaran setempat yang bersifat dalaman di sekolah.  Justeru itu ia sangat memerlukan keiltizaman yang tinggi di kalangan warga sekolah untuk menjayakannya.  Oleh sebab itu pihak sekolah perlu menggembeling tenaga untuk meminimakan kes-kes salahlaku disiplin di kalangan pelajar yang menjadi penghalang kepada perkembangan budaya yang sihat dan cemerlang.  Kes-kes yang sering mengganggu iklim cemerlang sekolah ialah datang lambat, berkeliaran di luar bilik darjah, ponteng kelas, ponteng perhimpunan, ponteng acara, membuat kebisingan, tidak menyelesaikan tugasan, membazir masa untuk ke makmal dan semasa ketiadaan guru, membeli keperluan di koperasi semasa sesi P&P sedang dijalankan, sering ke tandas untuk tujuan yang remeh dan pakaian tidak kemas.

 

Usaha berterusan pihak sekolah diperlukan untuk membasmi habis-habisan secara khusus gejala ponteng sekolah. Gejala ponteng merupakan nukleus kepada segala macam masalah disiplin pelajar.  Pelajar yang ponteng akan mengabaikan tanggungjawab menyelesaikan tugasan yang diberi. Mereka akan ketinggalan dalam pelajaran, tidak berminat untuk terus belajar,  mempengaruhi rakan-rakan dan sebagainya.  Mereka juga akan terlibat dengan gejala soaial seperti berpeleseran di kawasan rehat, berzina, berlumba motosikal, memecah rumah dan mencuri barangan berharga, merokok, merosakkan harta awam dan sebagainya.

 

Gejala ponteng ini akan menjadi penghalang iklim sekolah yang kondusif seperti dicita-citakan oleh KPM melalui PIPP.  Gejala ponteng ini boleh dibendung dengan komitmen yang tinggi pihak sekolah melalui usaha-usaha berikut:

1.      Guru Kelas mengeluarkan surat-surat amaran secara aktif.

2.      Kaunselor Pelajar melakukan lawatan ke kediaman  pelajar berkenaan untuk merapatkan hubungan sekolah dengan rumah pelajar.

3.      Pihak sekolah perlu membuat sekurang-kurang kajian ekspolarasi atau kajian tindakan untuk memahami fenomena ponteng di sekolah dan menjadikannya sebagai asas tindakan.  Data ponteng senang diperolehi melalui Buku Rekod Kedatangan yang ditanda setiap hari oleh Guru Kelas.

 

Jadual menunjukkan contoh analisis deskriptif kehadiran sebenar ( actual), tidak hadir bersebab ( excuse ) dan ponteng ( absent ).

 

4.      Mengenakan tindakan tatatertib seperti mewajibkan pelajar menandatangani borang khas selama 20 hari berturut-turut tidak termasuk hari cuti.  Usaha ini dijalankan untuk mengembalikan pelajar ke alam persekolahan. Usaha ini dilaksanakan bagi kes pelajar yang menipu waris mereka.

5.      Mengadakan perjumpaan dan taklimat kepada waris-waris pelajar ponteng.

6.      Mengadakan ujian pada hari pilihan pelajar untuk ponteng.

                  

Rajah menunjukkan purata ponteng mengikut hari.                                     Rajah menunjukkan purata ponteng mengikut acara.

 

 

7.      Semua pengelola program besar diwajibkan menganjurkan aktiviti yang menarik dan melibatkan semua pelajar kerana jika pengelola acara tidak berbuat demikian, maka ramai pelajar akan ponteng pada hari berkenaan.  

 

Dari segi pentadbiran, pihak sekolah perlu mengagihkan tugas jawatankuasa disiplin kepada semua guru tanpa ada kekecualian.  Nama semua guru dimasukan di bawah Jawatankuasa Disiplin Sekolah.  Dengan itu tiada lagi beban tanggungjawab ke atas Guru Disiplin semata-mata.

 

Pihak sekolah juga perlu menetapkan secara bersama watak sekolah yang diidamkan oleh semua warga sekolah.  Setelah itu maka seluruh warga sekolah akan bergerak ke arah pembinaan watak berkenaan.  Watak paling penting ialah menghormati hak orang lain.  Pihak pengurusan menghormati hak guru untuk mengajar dengan kaedah yang bersesuaian dengan kemampuan pelajarnya.  Pihak pengurusan menghormati hak pelajar untuk memperolehi kemudahan yang sewajarnya.  Guru menghormati hak pelajar untuk mendapatkan ilmu dengan cara yang diinginkan oleh mereka.  Pelajar menghormati hak rakan-rakan mereka untuk menikmati kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah, menghormati hak rakan lain untuk menikmati sesi P&P tanpa gangguan dan hak rakan lain untuk saling berhubung antara satu asama lain.

 

Iklim sekolah sihat ini juga dapat diwujudkan dengan memeriahkan persekitaran sekolah dengan kata-kata hikmat yang boleh mendorong semangat positif di kalangan pelajar.  Sekolah juga boleh memanfaatkan program 3K.

 

Langkah-langkah pelaksanaan Ciri Ketujuh: Infrastruktur lengkap dan berkualiti.

Pihak KPM telah menganggarkan perbelanjaan yang tinggi untuk melengkapkan prasarana SK sebanyak RM 9.6 bilion.  Anggaran dan peruntukan yang besar ini jika dilaksanakan dengan jaminan keberkesanan kos sudah tentu dapat memperkasakan SK tanpa diragukan lagi.  Bajet ini akan melibatkan projek baru, projek tambahan, projek gantian, projek sambungan, naik taraf kelengkapan teknologi pendidikan dan meningkatkan kemudahan ICT di sekolah ( KPM, 2007).

 

Oleh sebab itu pihak sekolah mesti menghayati bajet ini dan perlu menyediakan senarai semak keperluan prasarana.    Pihak sekolah juga perlu membuat permohonan khas ke Unit Pembangunan di Pejabat Pelajaran Daaerah untuk dipanjangkan ke Jabatan Pelajaran Negeri dan KPM dengan segera jika kedapatan keperluan yang mendesak.  Pihak sekolah sewajarnya mesti mengalirkan dana yang diperuntukan oleh kerajaan untuk penyediaan infrastruktur ke saluran yang betul dengan mengambil kira aspek keberkesanan kos cecara telus dan jujur serta memudahkan prosedur penggunaan kemudahan ICT di sekolah. 

 

Langkah-langkah pelaksanaan Ciri Kelapan: Sistem sokongan yang kuat dan mencukupi.

Bersatu teguh dan bercerai roboh.  Itulah kata pepatah yang sinonim dengan masyarakat kita untuk menggambarkan betapa kita saling memerlukan.  Dalam konteks memperkasa SK, semua pihak mesti berganding bahu untuk sama-sama membina kekuatan dan menjamin keberkesanan sekolah.  Pihak KPM akan menambah baik sistem sokongan dengan memantapkan pemuafakatan warga sekolah, kelaurga dan komuniti.  Pihak kementerian juga akan menambah bilangan jawatan guru pembantu terutama untuk pendidikan khas dan guru bahasa antarabangsa ( KPM, 2007).

 

            Demi untuk memastikan usaha pihak kementerian mendatangkan hasil, maka pihak sekolah pula perlu melibatkan ahli-ahli Persatuan Ibubapa Dan Guru ( PIBG  ) dalam aktiviti yang dianjurkan, mengukuhkan hubungan pihak sekolah dengan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) untuk membendung kejadian salahlaku disiplin di kalangan pelajar terutama di luar kawasan sekolah dan menggerakkan dengan aktif Briged Komuniti yang melibatkan pelbagai pihak seperti Majlis Kerajaan Tempatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan ( AADK ), Polis Di Raja Malaysia ( PDRM ), Rukun Tetangga ( RT ), Penghulu, Jawatankuasa Qaryah, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung ( JKKK ) dan pihak yang difikirkan mempunyai hubungan yang signifikan dengan sekolah.

 

Langkah-langkah pelaksanaan Ciri Kesembilan: Semua pelajar menguasai 3M.

Ciri keenam Sekolah Perkasa ini telah dianggap oleh pihak KPM sebagai salah satu cabaran yang perlu ditangani dengan penuh kesungguhan.  Pihak kementerian akan memantapkan lagi program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis ( KIAM2 ) dan memastikan semua SK menawarkan program j-QAF ( KPM, 2007).

                                                                                                                          

Usaha pihak kementerin ini mesti dilihat oleh pihak sekolah sebagai peluang terbaik untuk dimanfaatkan di sekolah.   Oleh sebab itu pihak sekolah perlu melaksanakan langkah-langkah wajar seperti meneruskan program KIAM2 di semua peringkat pengajian sama ada di SK atau sekolah menengah kebangsaan, melaksanakan dengan pemantauan yang ketat program pemulihan kepada para pelajar yang tidak menguasai 3M dan mengaplikasi strategi sinegik melalui perkongsian pintar dengan guru-guru j-QAF untuk membasmi buta jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain.

 

Langkah-langkah pelaksanaan Ciri Kesepuluh: Beraspirasi nasional.

Kita perlu belajar daripada pengalaman lepas.  Kegoyahan kita pada suatu ketika dahulu adalah berpunca daripada wujud perpecahan kaum.  Perpaduan amat penting.  Masyarakat majmuk merupakan ciri keunikan negara kita, Malaysia.  Ia telah wujud dan kita perlu mengiktirafnya.  Apa jua tindakan kita mesti mengambilkira elemen majmuk ini.  Sektor pendidikan tidak terkecuali.  Sistem pendidikan kita perlu beraspirasi nasional dan serasi dengan elemen majmuknya walaupun ia berstatus sekolah swasta dan apatah lagi ia adalah SK.

 

            Pihak sekolah mempunyai peranan yang paling hampir untuk memperkasakan SK dengan ciri aspirasi nasional ini.  Oleh sebab itu pihak perlu melaksanakan langkah-langkah seperti mengukuhkan perpaduan dikalangan pelajar melalui pelaksanaan gagasan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan ( RIMUP ) dan membina modal insan yang seimbang melalui penerapan konsep dan prinsip Islam Hadhari di kalangan warga sekolah.  Pihak sekolah perlu memantapkan kefahaman dan penghayatan seluruh warga sekolah dengan prinsip-prinsip Islam Hadhari iaitu keimanan dan ketqwaan kepada Ilahi, kerajaan adil dan beramanah, rakyat berjiwa merdeka, penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif, kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, keutuhan budaya dan moral, pemeliharaan alam semulajadi dan kekuatan pertahanan.

 

Pihak sekolah juga perlu mengaktifkan penghayatan Rukun Negara melalui penubuhan kelab khas untuknya atau menggiatkan semula ikrar pagi di kalangan semua pelajar dan guru.  Penghayatan Rukun Negara di kalangan pelajar akan membentuk nilai dan pandangan yang bersifat universal di kalangan pelajar serta mereka saling menghormati hak antara kaum.

 

Langkah-langkah pelaksanaan Ciri Kesebelas: Menawarkan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

Cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pihak KPM antaranya melibatkan isu perkauman. SK telah dilihat oleh banyak pihak sebagai mirip kepada sekolah Islam.  Demi membuktikan SK bukan terhad penyertaannya di kalangan kaum Melayu beragama Islam sahaja, maka pihak kementerian telah berusaha supaya SK dapat menawarkan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.  Tujuannya ialah untuk menarik penyertaan daripada kaum bukan bumiputera untuk mengikuti pengajian di SK (KPM, 2007).

 

Justeru itu jangan pula ada pihak yang mempertikai usaha ini.  Sebaliknya apa yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah ialah:

1.      Mengadakan promosi tawaran mata pelajaran Bahasa Cina dan Tamil kepada semua pelajar pelbagai kaum jika kedapatan pelajar daripada kaum berkenaan yang berhasrat melanjutkan pengajian di SK.

2.      Mengukuhkan reputasi mata pelajaran Bahasa Arab di sekolah bagi menarik minat ibubapa dan segmen pelajar yang berlatarbelakang agama untuk mengikuti pengajian di sekolah ini.  Usaha ini dapat menarik input pelajar yang berakhlak mulia untuk menyertai komuniti sekolah ini.

 

 

PENUTUP

Kejayaan sesebuah dasar dan projek bergantung kepada komitmen pelaksananya.  Pihak sekolah perlu mengadun komitmen di kalangan warganya dengan menubuhkan Jawatankuasa PIPP di peringkat sekolah.  Jawatankuasa ini mesti dipengerusikan oleh Guru Besar atau Pengetua sendiri.  Jawatankuasa ini terbahagi kepada dua iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Kerja. Jawatankuasa Induk  akan mempunyai enam biro utama mengikut teras PIPP.  Bagi Biro Sekolah Perkasa  ia mesti mempunyai 11 jawatankuasa kerja untuk menangani dan melaksanakan projek berkaitan sebelas ciri Sekolah Perkasa.  Semoga berkat usaha kita bersatu tenaga dan usaha akan mengukuhkan dan memperkasakan lagi institusi SK umpama kata bidalan bersatu teguh bercerai roboh.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RUJUKAN

 

Abu Hamid Muhamed Bin Muhammad Al-Ghazali ( 1980 ), Ihya’ Ulumiddin, Indonesia: Penerbit Aisli.

Aminuddin Mohd Yusof ( 1994 ), Kepimpinan, Motivasi Dan Prestasi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Berita Harian, ( 3 Februari 2007 ), Six Sigma Utamakan Pelanggan, Kuala Lumpur: Berita Harian.

Edaris Abbu Bakri, ( 2004 ), Pengurusan Strategik: Konsep dan Aplikasi untuk Pendidikan, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Evarard,K.B. and Morris,G. ( 1996 ), Effective School management, London: Paul Chapman Publishing Ltd.

Gordon, T, Dr. ( 1974 ), Teacher Effectiveness Training, New York: Crown Publishers.

Hussein Mahmood ( 1997 ), Kepemimpinan Dan Keberkesanan Sekolah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

https://www.sixsigmaonline.org, ( 2007 ), six_sigma_article4.html.

Institut Tadbiran Awam Negara ( 1991 ), Nilai Dan Etika Dalam perkhidmatan Awam, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara.

Jaafar Muhamad, ( 1996 ), Gelagat Organisasi, Kuala Lumpur: Leeds Publications.

Kaufman,R. and Grise,P. ( 1995 ), Auditing Your Educational Strategic Plan, California: Corwin Press, Inc.

Kementerian Pelajaran Malaysia ( 2007 ), Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Mohd Janib Johari ( 2001 ), Etika Profesional, Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Pusat Perkembangan Kurikulum, ( 1996 ), Buku Panduan Penilaian Kendalian Sekolah Menengah, Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Tan Lee Peng ( 1991 ), Analisis Kuantitatif Untuk Pengurusan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Teddlie,C. and Stringfield,S. ( 1993 ), Schools Make Difference, New York: Teachers College Press.

Wong Khek Seng, et.al,( 2003 ), Pengajian Am Kertas 1 & 2, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.