Time-base berasaskan kecemerlangan, bersedialah dari sekarang!

15/10/2013 18:41

Time-base berasaskan kecemerlangan (TBBK) merupakan cabaran baru kepada semua kakitangan awam sempena pelaksanaan gagasan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Saya baru sahaja selesai menghantar dokumen berkenaan untuk pertimbangan Ketua Jabatan (KJ) bagi tujuan TBBK. Rumitnya, penatnya dan mencabarnya mengisi dan melengkapkan borang berkenaan. Namun begitu oleh kerana telah terbiasa dengan permohonan Pensyarah Cemerlang pada tahun 2012, 2010 dan 2008, maka dokumen yang diperlukan masih tersimpan dengan baik dan kurang memberikan tekanan kepada saya.

    Justeru pengalaman yang mencabar ini, maka saya garapkan tulisan ini untuk berkongsi dengan rakan-rakan agar dapat bersedia lebih awal. Kesulitannya kerana terpaksa melampirkan dokumen sokongan untuk tempoh tiga tahun pada gred jawatan yang disandang semasa. Saya suka memperingatkan rakan-rakan yang akan memohon TBBK supaya menyimpan atau mula menyusun semua dokumen sokongan dengan baik agar senang diakses apabila diperlukan.

    Dokumen permohonan yang saya kemukakan  lebih kurang setebal satu inci. Saya zahirkan kenyataan ini untuk memudahkan rakan-rakan membayangkan dokumen-dokumen yang perlu dilampirkan. Berikut disenaraikan beberapa dokumen untuk perhatian dan tindakan rakan-rakan:

  1. Borang permohonan (berbeza mengikut gred dan kategori jawatan)
  2. Salinan Kad Pengenalan
  3. Borang Akuan Ketua Jabatan
  4. Salinan surat perakuan perisytiharan harta
  5. Lampiran C (Pinjaman PTPTN)
  6. Lampiran T1 (Tapisan Keutuhan SPRM)
  7. Dokumen sokongan Bahagian A (Rujuk borang permohonan)
  8. Dokumen sokongan Bahagian B (Sumbangan dan profesional)

    Rumusan awal pengalaman ini ialah:

  1. Perubahan gred jawatan secara timebase bukan suatu hak yang mesti diperoleh apabila tiba masanya seperti mana amalan sebelum ini. Ia banyak bergantung kepada Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) dan sokongan penilaian semasa oleh tiga orang ketua atasan.
  2. Ketua Jabatan diberikan kuasa yang maha luas untuk menentukan anda layak atau tidak mendapat perubahan gred jawatan yang lebih atas. Keluasan kuasa ini melibatkan 95% penilaian holistik dalam LNPT dan 40% nilaian semasa permohonan dibuat berasaskan sumbanagn profesional kakitangan bawahan. Wajaran yang diambilkira ialah purata markah tiga tahun LNPT (60%) dan penilaian semasa berasaskan kecemerlangan (40%).
  3. Formula 8863 merupakan angka-angka yang hanya memasukkan anda dalam zon yang melayakkan anda mengemukakan permohonan TBBK, namun memperolehinya bukan suatu kepastian.

    Cumanya maklumat yang kurang jelas tentang TBBK ini berkisar sekitar beberapa soalan berikut:

  1. Adakah tarikh lantikan TBBK mempunyai kesinambungan dengan tarikh lantikan gred jawatan sebelumnya?
  2. Adakah kemungkinan penganugerahan TBBK berdasarkan kouta (kerana kemerosotan kuasa pembiayaan kerajaan) apabila majoriti kakitangan layak memperoleh TBBK berasaskan merit yang menjadi kriteria kelayakan sebagaimana berlaku kepada anugerah perkhidmatan cemerlang atau pergerakan gaji menegak dan melintang dalam Sistem Saraan Baru?
  3. Adakah akan ada pemantauan daripada pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti untuk mengesahkan dokumen bukti dan pencerapan pengajaran di bilik darjah sebagaimana berlaku kepada calon-calon Guru Cemerlang dan Pensyarah Cemerlang?

    Apapun situasinya, saya suka memberikan beberapa saranan kepada rakan-rakan:

  1. Lengkapkanlah borang permohonan, jangan emosional sehingga enggan menyempurnakan borang berkenaan sehingga kesilapan dan kesalahan diletakkan di atas bahu pegawai berkenaan. Maksudnya, elak membuka ruang kepada pihak atasan menyahkan nama daripada senarai kelayakan TBBK disebabkan kesilapan sendiri.
  2. Beri perhatian dan tumpuan kepada sumbangan di peringkat yang lebih tinggi sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Mungkin sumbangan-sumbangan peringkat bawahan boleh diteruskan seperti biasa, tetapi sasaran utama ialah sumbangan pada peringkat yang lebih tinggi agar wajaran yang akan dierima nanti berbaloi.
  3. Lazimi KJ anda melalui seni politik pejabat yang berkesan. Anda boleh mendalami seni politik pejabat melalui mana-mana sumber bacaan tentang gelagat organisasi (Organizasional Behavior)dalam pengurusan sumber manusia. Ia suatu seni yang sangat berkuasa untuk kebaikan organisasi jika dipraktis secara positif. Perbuatan mengampu secara melampau, menfitnah pesaing dan merasuah KJ atau pasangannya merupakan tegahan dalam amalan politik pejabat yang sihat.
  4. Segerakan membuat perisytiharan harta jika surat sedia ada telah melebihi lima tahun.

    Kesimpulannya, kita tiada kuasa untuk menyanggah arus, teruskan berusaha, don't miss the boat.