PONDOK JAGA PENGAWAL

26/10/2012 07:10

Kita semua berpengalaman melalui pemeriksaan keselamatan, di lapangan terbang, di jalanraya, di bank, di bangunan-bangunan kerajaan dan lain-lain lagi. Pengalaman saya menghadirkan diri untuk menyelia praktikum pelajar sering melalui pemeriksaan keselamatan di sekolah-sekolah yang dilawati. Begitu juga pengalaman menjemput anak dari asrama sekolah juga melalui pemeriksaan keselamatan di pintu masuk sekolah atau asrama. Begitu juga dengan pemeriksaan keselamatan di tempat kerja.

Persoalan yang akan saya kongsikan dengan para pembaca berkisar di sekitar dua persoalan iaitu jaga pondok atau jaga keselamatan. Dua persoalan ini berbangkit apabila saya mengamati kebanyakan pengawal keselamatan seolah-olah tidak cukup terlatih atau bekerja dalam keadaan terlalu letih.

Saya dapati kebanyakan pengawal keselamatan di sekolah-sekolah yang dilawati lebih gemar menjaga pondok mereka daripada mengawal keselamatan institusi yang diamanhkan. Merujuk kepada prosedur yang digunakan melalui arahan bertulis supaya semua pelawat melapor diri di pondok pengawal, maka semua waris atau pelawat mesti meletakkan kenderaan di suatu tempat dan bergerak ke pondok pengawal untuk melapor diri. Implikasinya pengawal tidak memeriksa orang dan barang yang kita bawa. Mungkin ada orang bawa senapang seperti berlaku di beberapa buah sekolah di barat. Saya dapati pengawal keselamatan cukup kukuh dengan status qou mereka untuk bertahan di dalam pondok pengawal. Ada juga pengawal yang meletakkan arahan yang agak kasar dan biada apabila meletakkan papan tanda pada pondok mereka dengan catata: PERCAKAPAN ANDA DARI DALAM KERETA TIDAK DAPAT DIDENGARI. Berat sungguh punggung pengawal keselamatan untuk hadir menghampiri kenderaan yang masuk agar dapat memastikan keselamatan orang dan barang yang dibawa oleh pelawat.

Sewajarnya pengawal keselamatan melalukan tindakan-tindakan berikut:

  1. Menghampiri kenderaan yang masuk untuk memastikan orang dan barang yang dibawa tidak mengancam keselamatan institusi,
  2. Menghampiri kenderaan dan menyapa tetamu yang hadir dengan sopan sebagai lambang budaya hidup institusi yang diwakilinya, 
  3. Menghulurkan buku catatan pelawat kepada pelawat tanpa perlu meletakkan kenderaan terlebih dahulu sebagai tanda institusi itumengamalkan dasar kualiti yang mesra pelanggan.

Seperkara lagi yangperlu diberi perhatian ialah tentng keselamatan para pelawat. Kekadang kita dapati banyak institusi tidak mengambil peduli tentang keselamatan pelawat apabila meletakkan pondok pengawal terlalu hampir hampir dengan pintu masuk utama yang berhampiran dengan jalan raya yang sibuk.  Isu ini berbangkit apabila kenderaan diberhentikan untuk berurusan di kaunter pondok pengawal yang menyebabkan kesesakan sehingga ke jalan raya. Situasi ini boleh mengundang bahaya kemalangan jalan raya. Adalah lebih baik dan dicadangkan kepada semua institusi yang berpengawal supaya menempatkan pondok pengawal keselamatan agak jauh daripada jalan raya atau ke dalam sedikit daripada pintu pagar utama.

Ini hanyalah pandangan peribadi saya sahaja. Jika ia baik dan wajar mungkin boleh dibuat asas tindakan.