Panduan sebelum, semasa dan selepas praktikum

28/04/2015 16:02

Persediaan praktikum sangat penting apabila guru pelatih berada dalam fasa-fasa latihan mengajar sama ada fasa 1, fasa 2 atau fasa 3. Persediaan yang mantap akan memudahkan guru pelatih untuk menjalani latihan mengajar dengan tenang dan tanpa tekanan.

Tindakan Sebelum

1.    Berbincang dengan penyelia tentang format rancangan pengajaran, gaya lawatan yang akan dilakukan, gaya bimbingan, gaya komunikasi dan jangkaan hasrat pensyarah penyelia kepada anda atau pasukan anda.

2.      Fahami tugas dan tanggungjawab guru di sekolah sebagaimana terdapat dalam buku Rancangan Pengajaran Harian

3.    Hadir ke sekolah untuk mewujudkan hubungan mesra dengan pihak sekolah dan panitia mata pelajaran berkeitan.

4.    Sediakan pelan atau peta lokasi sekolah untuk panduan diri sendiri dan pensyarah penyelia.

5.    Sediakan sebuah buku log untuk mencatat segala butiran berkaitan praktikum bermula daripada sebelum praktikum hingga selepas praktikum.

6.     Sediakan dokumen praktikum lebih awal setelah mendapat taklimat daripada Unit Praktikum. Lengkapkan dokumen folio dengan pembahagi-pembahagi yang telah disenaraikan oleh Unit Praktikum.

 

Menyediakan folio yang kemaskini, sistematik dan menarik merupakan salah satu kekuatan yang mesti diberi komitmen yang tinggi oleh guru pelatih praktikum sepanjang menjalani praktikum. Amalan ini merupakan salah satu daripada budaya kerja cemerlang yang menjadi kayu ukur kepada penilaian Guru Cemerlang.  Folio merupakan koleksi hasil kerja guru pelatih yang boleh memberi gambaran tentang usaha guru pelatih dan pencapaiannya dalam bidang tertentu seperti bidang latihan mengajar. Folio atau profil professional rnemberikan gambaran tentang seorang professional dari segi:

a.    Pengetahuan

b.    Kemahiran

c.    Pengalaman

d.    Kelayakan

e.    Matlamat dan Pencapaian

 

Shulman (1992) menjelaskan bahawa folio profesional merupakan satu bentuk sejarah pencapaian pelajar yang didokumentasikan dan diperkukuhkan dengan bukti-bukti hasil kerjanya dan kesedaran baru melalui penulisan reflektif. Koleksi hasil usaha pelajar ini juga memberikan gambaran tentang proses atau usaha-usaha yang dijalankan serta pencapaiannya di dalam perkara-perkara tertentu. Ini termasuk pemilihan bahan- bahan, isi kandungan, garis panduan pemilihan, kriteria dan bukti refleksi kendiri pelajar (Arter and Paulson,1990). Folio juga merupakan koleksi artifek pengalaman pembelajaran yang dikumpulkan dalam satu jangka waktu tertentu. (Valencia, Hibert & Afflerbach,1994)

 

TUJUAN FOLIO:

1.    Mendokumentasikan kemahiran dan pengetahuan melalui pengalaman sewaktu praktikum

2.    Sebagai landasan komunikasi antara pelajar, pensyarah pembimbing dan guru pembimbing untuk menilai prestasi pelajar yang diselia.

3.    Memberi peluang pelajar menganalisis dan menilai perkembangan dan arah pemikiran mereka.

4.    Memberi ruang pelajar membuat refleksi dan menentukan matlamat yang ditetapkan sepanjang praktikum.

5.    Maklum balas tentang keberkesanan pelaksanaan kurikulum sepanjang praktikum.

6.    Sebagai asas untuk membuat keputusan dan menetapkan matlamat pengajaran dan pembelajaran.

7.    Alternatif kepada penilaian berbentuk pengujian dan peperiksaan atau penilaian sumatif.

8.    Memperkembangkan daya kreativiti melalui penyediaan strategi, tindakan dan idea dalam meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.

 

CIRI-CIRI FOLIO:

1.    Hasil akhir folio mestilah menunjukkan pelajar telah terlibat dengan refleksi kendiri.

2.    Hasil yang dibuat sendiri oleh pelajar membawa maksud penghargaan kepada usaha dan kejayaan diri sendiri.

3.    Folio berbeza dengan folder simpanan pelajar. Maklumat yang bermakna dari folder sahaja yang perlu dimasukkan ke dalam folio.

4.    Mesti menggambarkan dengan jelasnya aktiviti pelajar dari sudut rasional, matlamat, pengalaman, halatuju dan harapan.

5.    Mempunyai matlamat yang berbeza dari masa ke semasa. Oleh itu mesti dikemas-kini setiap masa.

6.    Boleh mempunyai beberapa tujuan pada satu masa tetapi tidak bercanggah.

7.    Mengandungi maklumat yang menggambarkan berlakunya kemajuan dan perkembangan dalam sesuatu perkara.

 

TANGGUNG JAWAB GURU PELATIH DALAM MENYEDIAKAN FOLIO:

1.    Menyediakan folio yang bermakna dan kemas kini.

2.    Menyerahkan folio kepada guru pembimbing dan pensyarah pembimbing untuk disemak apabila diminta sepanjang praktikum.

3.    Menyiapkari Pernyataan Profesional sebelum dan selepas tamat praktikum

 

FOLIO YANG BERKUALITI:

1.    Berstruktur dan Tersusun

Kemas mengikut cara, peraturan atau kategori yang tertentu sama ada mengikut kronologi, kategori, tahap kesukaran dan kepentingan bahan.

2.    Menunjukkan Peningkatan Perkembangan

Perkembangan dari aspek kognitif, psikomotor dan afektif. Bahan mesti memperlihatkan proses menyediakannya dari draf awal hingga hasil akhirnya.

3.    Bukti Yang Pelajar Telah Menerima Bimbingan

Perlu disertakan bukti berbentuk tandatangan, komen, cop dan tarikh bimbingan diterima daripada Pengetua, Guru Besar, guru pakar, guru pembimbing atau mana-mana pihak.

4.    Ada Bukti Kolaborasi

Tugasan yang dilakukan melibatkan pelajar dengan pihak lain seperti rakan, guru pembimbing, guru pakar, guru kanan, pensyarah pembimbing atau mana-mana pihak. Bukti berupa jadual kerja harian, projek, persediaan mengajar, kertas kerja, ABM, kertas ujian yang dijalankan secara bersama.

2.    Mengandungi Banyak Penulisan, Catatan dan Komen Reflektif

Hasil dari cetusan idea dan pemikiran reflektif pelajar. Pelajar sentiasa mengamalkan refleksi kendiri serta membuat analisis terhadap semua amalan dan tugas secara sistematik.

3.    Menunjukkan Bukti Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif

Dapat dilihat melalui idea dan hujah yang tersusun, sama ada dengan atau tanpa menggunakan pengurusan grafik.

4.    Mengandungi Bukti Pencapaian Prestasi Pelajar

Semua bentuk penilaian sama ada melalui borang penilaian yang diisi oleh pensyarah, guru pembimbing atau pengurus sekolah.

Penilaian pengajaran berpasangan atau apa bentuk penilaian rakan sebaya (senarai semak yang diisi oleh rakan pelajar)

Surat penghargaan, sijil dan bukti prestasi semuanya disimpan dalam portfolio.

5.    Mengandungi Bahan Yang Terpilih dan Releven

Mengandungi satu set bahan bukti pembelajaran yang terpilih secara teliti sahaja bukan semua apa yang dijalankan.

Bahan mestilah yang releven dengan tugasan dan spesifik.

6.    Mengandungi Bahan Yang Autentik

Semua bahan mesti yang dibuat sendiri oleh pelajar berasaskan situasi sebenar bukan ditiru atau diciplak.

 

Guru pelatih praktikum perlu menyediakan folio dengan kemas dan berkualiti termasuk aspek pembahagi-pembahagi dokumen di dalam folio tersebut.  Pembahagi-pembahagi tersebut boleh dibuat berdasarkan senarai kandungan folio yang diedarkan oleh Unit Praktikum. Berbincanglah dengan pensyarah penyelia tentang pengubahsuaian portfolio. Mungkin folio wajar dipecahkan kepada beberapa dokumen berasingan untuk memudahkan pengurusannya. Mungkin anda perlu menyediakan empat fail iaitu Fail A, Fail B, Fail C dan Fail D. Berikut disenaraikan perkara-perkara berkaitan kandungan folio:

 

Jadual 1:
Senarai kandungan folio

 

A

01

SENARAI KANDUNGAN FOLIO

02

BORANG BIODATA

03

JADUAL WAKTU MENGAJAR (DISAHKAN)

04

SUKATAN PELAJARAN (MAJOR DAN MINOR)

05

RANCANGAN SEMESTER (TAHUNAN) MAJOR & MINOR

RANCANGAN PENGAJARAN MAJOR & MINOR (SEPANJANG TEMPOH PRAKTIKUM)

06

GARIS PANDUAN PKAKTIKUM / AMALAN PROFESIONAL

07

BORANG TAKWIM SEKOLAH

08

BORANG KEHADIRAN PRAKTIKUM

09

BORANG BIMBINGAN PRAKTIKUM - PR1

10

BORANG REKOD PENGAJARAN BERPASANGAN (PISMP SAHAJA)

11

BORANG MAKLUMBALAS PENGAJARAN BERPASANGAN (PISMP SAHAJA)

B

12

CARTA ORGANISASI SEKOLAH

13

VISI DAN MISI SEKOLAH

14

PETA LOKASI & PELAN SEKOLAH

15

SENARAI NAMA STAF (AKADEMIK & SOKONGAN)

16

PERATURAN-PERATURAN SEKOLAH

C

17

RANCANGAN AKTIVITI KOKURIKULUM (SEPANJANG TEMPOH PRAKTIKUM)

18

SENARAI NAMA AHLI DAN KEHADIRAN

19

LAPORAN AKTIVITI KOKURIKULUM

20

LAPORAN PROJEK / PERANAN LAIN

D

21

SENARAI DAN MAKLUMAT MURID (KELAS DIAJAR)

22

REKOD PRESTASI / MARKAH UJIAN / PENILAIAN

23

KERTAS SOALAN UJIAN / LATIHAN / LEMBARAN KERJA

24

PENULISAN JURNAL

 

 

 

Tindakan Semasa

1.    Bersedialah dari segi mental dan fizikal. Tanamkan keazaman yang tinggi dalam diri untuk menjalani praktikum dengan penuh komitmen dan tekad yang bulat. Ketepikan tugas-tugas sampingan yang boleh mengganggu tumpuan anda kepada proses praktikum. Berkorbanlah segalanya sama masa, tenaga, wang dan sebagainya hanya untuk tempoh yang singkat itu sahaja.

2.    Sediakan dokumen rancangan pengajaran sebaik sahaja memperoleh jadual waktu mengajar.

3.    Benbincang dengan pihak sekolah untuk memastikan lokasi atau bilik perbincangan yang selesa dengan guru pembimbing dan pensyarah penyelia agar perbincangan berlangsung dalam suasana kondusif dan berkesan tanpa gangguan.

4.    Elak mengganggu perbincangan dengan jamuan kepada pensyarah penyelia. Anda boleh sediakan minuman setelah sesi bimbingan selesai. Berhubunglah dengan pihak kantin lebih awal, tetapi itu bukan keutamaan. Elak hilang fokus keutamaan praktikum dengan layanan-layanan yang melampau.

5.    Catat segala isi perbincangan dengan guru pembimbing dan pensyarah penyelia. Jangan sekali-kali percaya kepada ingatan anda. Catatlah walaupun sekadar isi-isi penting. Tidak semua perkara dicatatkan oleh guru pembimbing dan pensyarah penyelia dalam dokumen anda. Lazimnya kelemahan-kelemahan tidak dicatat oleh guru pembimbing dan pensyarah penyelia dalam dokumen anda.

6.    Bersikap profesional semasa sesi bimbingan. Elak daripada menyanggah pandangan guru pembimbing dan pensyarah penyelia dengan mengemukakan pandangan guru atau pensyarah yang tidak terlibat dengan proses bimbingan ini. Anda boleh bertanya, tetapi bukan untuk membanding maklumat antara pensyarah atau guru. Ambil semua ilmu yang dicurahkan dan buat penambahbaikan.

Tindakan Selepas

Selepas tamatnya praktikum, guru pelatih sewajarnya menemui penyelia masing-masing untuk mendapatkan bimbingan akhir sebagai rumusan. Perbincangan lanjut ini membolehkan guru pelatih mendapatkan maklumat secara perbandingan dengan rakan-rakan di bawah penyeliaan pensyarah yang sama.

Kesimpulannya, Guru Pelatih Praktikum perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada fasa-fasa praktikum yang dijalani agar mereka dapat dibangunkan sebagai tenaga pengajar profesional yang cukup terlatih dan mendatangkan impak maksima terhadap perbelanjaan dan pelaburan kerajaan bagi membiayai latihan mereka. Namun begitu konsep pembelajaran sepanjang hayat mesti diteruskan walaupun sudah menamatkan pengajian dan latihan kerana pendidikan tidak mempunyai pendekatan, kaedah dan strategi yang statik. Pendidikan sentiasa perlu ditambahbaik bagi menyesuaikan keserasiannya dengan perkembangan dan kemajuan semasa dan akan datang.