Keberkesanan mengurus konflik

22/07/2013 05:25

Semua orang ada masalah. Semua orang seringkali terjebak dalam konflik. Itu adalah rutin kita seharian. Kekadang segala masalah secara tiba-tiba dikaitkan dengan kita. Bukan kita yang mencipta masalah dan konflik, tetapi pihak lain telah melibatkan kita secara luar dugaan kita. Apapun keadaannya, maka kita terpaksa menyelesaikannya untuk membina semula ketenangan hidup.

Berbagai cara orang menyelesaikan masalah. Keberkesanan penyelesaian itu bergantung kepada pelbagai faktor. Pada kesempatan ini, admin ingin berkongsi dengan para pembaca tentang cara kebanyakan orang menyelesaikan masalah iaitu kurang cermat mempertimbang sumber di bawah kawalan. Kita seringkali berusaha mengawal pihak lain sedangkan adalah terlalu sukar untuk mengawal orang lain selain daripada sumber di bawah kawalan kita. Contohnya, apabila anak2 kita bergaduh dengan anak  jiran tetangga kita. Maka dalam konteks ini anak kita kitalah yang perlu kita kawal kerana ia mempunyai perkaitan langsung dengan kita. Manakala anak jiran kita pula secara langsung berada di bawah kawalan ibu dan bapanya. Apabila kita memarHi anak jiran kita, maka pada masa yang sama kita telah memperluaskan jaringan pergaduhan itu kepada ibu bapanya. Justeru, pada pandangan admin kaedah ini kurang berkesan.

Begitu juga dalam kes isteri berlaku curang kepada suami. Kita sering kali akan menyerang pihak lelaki yang terlibat dalam konflik ini, padahal lelaki itu mungkin sekadar respon kepada sikap isteri kita kepadanya. Bukan dia yang sebenarnya mengganggu isteri kita. Masalah yang sebenarnya ada dalam rumah kita, tetapi kita tidak cermat membuat penelitian sehingga mengabaikan punca masalah sebenar. Akhirnya masalah tidak juga selesai dan kita akan meneruskan tindakan-tindakan yang terus menerus menzalimi pihak lain. Kita menjadi hairan apakah ubat guna-guna yang digunakan oleh pihak pesaing kita untuk mempengarhi minda isteri kita sehingga tidak dapat melupakannya. Hakikatnya kita telah berusaha bersungguh-sungguh supaya pihak pesaing melupakan isteri kita. Memang usaha kita berkesan sehingga pesaing itu tidak lagi kesahkan isteri kita, tetapi masalah tidak juga selesai kerana isteri kita tidak terubatkan.

Seperkara lagi ialah sumber atau punca masalah yang paling dekat dengan kita ialah diri kita sendiri. Kita seringkali gagal mengawal diri kita apabila mengurus sesuatu konflik yang melibatkan diri kita. Hakikatnya, kebahagiaan kita yang sebenar ada dalam diri kita. Keseronokan sebenar ada dalam diri kita. Ketenangan sebenar ada dalam diri kita. Malangnya yang kita berusaha urus dalam konflik ini ialah diri orang lain. Akhirnya kita tetap gagal. Admin suka membawakan satu contoh klasik tentang hal ini. Cerita seorang pengembara yang berazam untuk berhijrah ke suatu tempat yang lebih tenang daripada kampung halamannya yang dipenuhi dengan golongan mufsidin seperti penagih dadah, merempit dan sebagainya. Justeru perjalananya membawa dia ke sebuah perkampungan, lalu dia berhenti melepaskan keletihan di suatu lokasi. Tiba-tiba datang seorang tua bertanyakan khabarnya. Lalu berlaku dialog antara keduanya bagi memenuhi beberapa soalan yang dikemukakan oleh orang tua itu bagi menjawab soalan yang berkisar di sekitan siapa, dari mana dan kenapa bermusafir. Setelah mendengar penerang pengembara itu, maka orang tua itu menjawab bahawa di sinipun golongan-golongan itu wujud juga. Pengembara itu membatalkan niatnya untuk menghuni di perkampungan itu dan meneruskan perjalanannya sehingga beberapa buah perkampungan namun jawapan yang diterima adalah sama seperti yang dinyatakan oleh orang tua itu juga. walaupun begitu kedapatan sedikit tambahan jawapan daripada orang tua di perkampungan terakhir iaitu: KAWAL DIRIMU, SEBENARNYA KEMUNKARAN BUKAN DISEBABKAN OLEH BANYAKNYA ORANG JAHAT, TETAPI DISEBABKAN DIAMNYA ORANG BAIK. Lalu dia membuat pusingan 360 darjah untuk kembali semula ke perkampungannya dengan keazaman baru untuk mengawal dirinya dan menyeru masyarakat kepada berbuat makruf dan mencegah mereka daripada melakukan kemunkaran.

Hal yang sama mungkin berlaku apabila seseorang pekerja menghadapi konflik dengan ketuanya, hakikatnya konflik itu boleh dikawal jika pekerja berkenaan sentiasa mengawal dirinya, sentiasa bermuhasah diri sendiri tentang sumbangannya yang menyebabkan konflik itu bertambah parah. Konflik seperti itu tidak berkesan dengan hanya bertukar tempat kerja ke organisasi lain. Namun tidak dinafikan ada juga keberkesannya. Ketua bertanggungjawab memikirkan semua orang, bukan hanya terbatas kepada kepuasan diri seseorang pekerja sahaja. Memenuhi kepuasan semua oranag adalah sukar.