Kajian permaslahan praktikum dalam kalangan Guru Pelatih j-QAF

19/07/2012 16:00

Permasalahan Praktikum Dalam Kalangan Guru Pelatih KPLI LPBS j-QAF

Ustaz Md Zuki Bin Hashim
Jabatan Pendidikan Islam & Moral
IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani

Abstrak

Kajian ini ialah kajian kes ke atas sembilan orang guru pelatih program KPLI LPBS j-QAF yang sedang menjalani latihan praktikum bagi mengenal pasti permasalahan yang sering dihadapi dan puncanya. Kajian ini diharapkan dapat membantu bagi meningkatkan keberkesanan latihan praktikum melalui penyeliaan berfokus. Data kajian diperoleh daripada analisis ke atas dokumen yang terdiri daripada Buku Rancangan Pengajaran Harian dan portfolio yang disediakan oleh guru pelatih. Dokumen sokongan lain yang dianalisis ialah Struktur Program LPBS, Modul Interaksi j-QAF dan Huraian Sukatan Pelajaran. Data juga diperoleh daripada temu bual dengan guru pelatih untuk mengenal pasti punca setiap masalah praktikum. Dapatan kajian ini mendapati enam permasalahan yang sering dihadapi oleh para guru pelatih iaitu kecelaruan dalam penetapan aras bagi hasil pembelajaran, kurang berjaya merancang kepelbagaian teknik pengajaran dan pembelajaran, kurang penerapan kemahiran berfikir, kurang menguasai penulisan refleksi yang bermakna, tiada analisis bermakna setiap ujian yang dijalankan dan kurang mahir dalam penulisan jurnal mingguan yang bermakna. Kajian ini juga mendapati antara punca permasalahan praktikum ialah bimbingan semasa interaksi bersemuka yang kurang berkesan, latihan praktikum dijalankan sebelum sukatan pelajaran kursus perguruan disempurnakan ketika interaksi bersemuka, tiada pendedahan kemahiran belajar dalam struktur kursus, tiada keselarasan format penulisan refleksi pengajaran dan tiada pendekatan yang jelas tentang kaedah penulisan jurnal. Semoga hasil kajian ini dapat membantu guru pelatih untuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran keguruan yang diperlukan oleh sistem pendidikan arus perdana di Malaysia. Penyelidik mencadangkan penyelidikan lanjutan berasaskan setiap permasalahan yang telah dizahirkan dalam kajian ini.

Kajian ini telah dihantar untuk penerbitan dalam Jurnal Penyelidikan IPG KSAH bagi tahun 2010. Jurnal ini belum diterbitkan lagi sehingga kini.

Untuk mendapatkan teks penuh kajian ini, sila hubungi saya melalui emel: ustadki@gmail.com