CIKGU, HENTIKAN AGIHAN KERJA SEKOLAH YANG MELAMPAU

22/08/2013 16:10

Kerjaya sebagai seorang guru menuntut pengorbanan yang cukup maksima dari segi pemikiran dan daya usaha. Guru sentiasa berada dalam kebimbangan tentang pencapaian para pelajarnya. Guru sangat mengambil berat tentang keselamatan para pelajarnya. Guru juga tidak pernah jemu menyampaikan ilmu dan membentuk akhlak para pelajarnya. Guru mampu mendisiplinkan 40 orang pelajar dalam bilik darjah yang tidak mampu dilakukan oleh ibu bapa di rumah walaupun hanya mempunyai tiga orang anak sahaja. Tahniah dan syabas para guru.

Isu dalam blog ini kali ini ialah agihan kerja sekolah yang melampau dalam kalangan guru kepada para pelajarnya sehingga mendatang implikasi negatif kepada perkembangan kognitif dan sosial anak-anak. Mengamati kehidupan anak-anak sama ada di asrama atau di rumah, saya dapati sistem agihan kerja sekolah kepada pelajar perlu disemak dan optimakan akan ia tidak mendatangkan kesan negatif kepada prestasi dan pergaulan para pelajar. 

Agihan kerja rumah yang melampau akan menyebabkan lambakan bebanan tugasan kepada para pelajar sehingga menyebabkan stress. Situasi stress ini dizahirkan melalui air muka anak-anak yang kurang manis atau kurang ceria sepanjang bergaul dengan ahli keluarga di rumah dan rakan-rakan mereka. Anak-anak mula melakukan perbuatan mendurhakai kedua orang tua apabila diminta bantu kerja-kerja di rumah kerana bimbang tidak berkesempatan menyiapkan kerja yang diagihkan oleh guru kepada mereka. 

Keduanya, anak-anak mengabaikan hubungan silaturrahim kerana enggan menyertai ahli keluarga lain untuk menziarahi sanak saudara yang lain. Anak-anak sanggup berkuruang seharian di rumah untuk menyiapkan kerja sekolah yang diagihkan oleh guru mereka. Akhirnya mereka menjadi terlalu asing dengan sanak saudara yang lain dan hilang kemesraan.

Ketiganya, anak-anak tidak mempunyai masa yang cukup untuk menelaah mata pelajaran lain kerana tertumpu kepada aktiviti menulis kerja yang diagihkan untuk disempurnakan sepanjang berada di rumah atau asrama. Akibatnya mereka tidak kaya dengan maklumat untuk menghadapi ujian.

Dalam ruangan ini, saya merayu kepada para guru untuk mempertimbangkan beberapa asas pengagihan kerja sekolah:

  1. Kerja yang diagihkan hendaklah tugasan yang mampu mencabar pemikiran anak-anak dan bukan sekadar menyalin atau memindah semula maklumat yang terdapat dalam buku teks kepada buku nota. 
  2. Jumlah tugasan yang hendak diagihkan hendaklah diselaraskan antara mata pelajaran. Jika ada sembilan mata pelajaran dan sembilan tugasan setiap satu, maka pelajar terpaksa menyelesaikan 81 soalan tugasan setiap hari atau setiap minggu. 
  3. Kerja yang diagihkan hendaklah mengambil kira kemampuan dan kepastian guru untuk memeriksa, menyemak dan memperbetulkan sebarang kesilapan pelajar melalui bimbingan secara langsung melalui interaksi bersemuka. Elak memberikan tugasan tanpa memikirkan faedahnya. Elak mengagihkan tugasan kerana arahan ketua semata-mata, tetapi setelah ia berlonggok di atas meja kita, maka kita biarkan kerana tiada kemampuan untuk menyemaknya.
  4. Manfaatkanlah waktu pengajaran dan pembelajaran di sekolah semaksima mungkin dengan mengambil berat aspek keberkesanan pengajaran dan kaedah yang memudahkan pelajar untuk memahami pelajaran.

Saya harap artikel ini dapat memberikan sumbangan sebagai runungan kita bersama demi untuk membuat penambahbaikan terhadap profesion perguruan yang mulia. Di saat peperiksaan awam semakin hampir, saya mohon kepada semua guru agar berilah ruang yang selesa kepada para pelajar untuk menelaah kesemua mata pelajaran. Usaha untuk menyelesaikan soalan tugasan di bilik darjah secara bimbingan bersemuka kerana ia lebih memberikan ruang untuk pelajar bertanya dan mendalami asas-asas kesilapan mereka serta memperoleh teknik menjawab yang berkesan.