Berlaku adil dalam proses pembuatan keputusan

30/09/2012 09:32

Dalam organisasi terdapat pelbagai gelagat manusia. Gelagat manusia ini sangat penting untuk difahami kerana ia merupakan salah satu sumber terpenting dalam pengurusan organisasi selain daripada sumber material, kewangan, maklumat dan sebagainya. Para pengkaji gelagat manusia telah memebentuk disiplin ilmu yang sangat signifikan dengan pengurusan organisasi. Manusia mempunyai keinginan dan kehendak yang tidak terbatang sedangkan mereka memiliki sumber dan keupayaan yang sangat terhad. Kehendak dan keinginan itulah yang menjadikan manusia kekadang melampaui batas susila moral manusia apatah lagi melanggar sempadan yang telah digariskan oleh Sariat Allah.

    Dalam usaha untuk mencapai kehendak yang tidak terbataslah inilah kekadang manusia melakukan pengkhianatan dan kezaliman sesama manusia yang menjadi pesaingnya. Justeru, segala tindak tanduk manusia perlu difahami sepenuhnya dalam kalangan pemimpin, pengurus dan pentadbir organisasi. Kegagalan memahami gelagat manusia berkemungkinan akan menjejaskan operasi seharian organisasi.

    Beberapa istilah yang pada zahirnya mengikut pandangan manusia adalah sarat dengan nilai negatif, tetapi hakikatnya sangat membantu untuk meningkatkan produktiviti organisasi seperti konflik dan politik pejabat.  Kedua-dua istilah ini sering dilihat dari sudut negatif kerana ia sering disalahgunakan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan diri masing-masing dan memusnahkan ruang dan peluang orang lain. Justeru, ketua, pemimpin, pengurus atau pentadbir organisasi mesti memberikan perhatian terhadap elemen ini. Konflik dan politik pejabat jika diurus atau ditangani dengan baik akan mendatangkan hasil yang baik juga.

    Sebagai contoh, budaya mengadudomba dalam organisasi melalui pemasaran berita palsu secara berlelluasa akan menyebabkan berlaku pergolakan dalaman yang boleh melemahkan kedudukan sesebuah organisasi dan memusnahkan reputasinya. Justeru, sebagai ketua, pemimpin, pengurus atau pentadbir organisasi, maka perlu diberi perhatian terhadap sebarang berita yang disampaikan sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-hujarat:6.

    Justeru, sebagai ketua, pemimpin, pengurus atau pentadbir organisasi perlu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum mengambil sebarang tindakan kepada mana-mana pihak. Bukalah ruang perbincangan seluas-luasnya. Dapatkan pandangan pelbagai pihak yang berwibawa untuk merumuskan keputusan yang terbaik. Berilah peluang membela diri kepada pihak tertuduh agar dia dapat memberikan penjelasan yang sewajarnya. Buatlah keputusan yang adil sebagaimana disarankan oleh Allah dalam Surah Al-Kahfi:86. 

    Ketua yang berwibawa tidak akan bimbang menghadapi sebarang krisis dalaman organisasi dan akan sentiasa kukuh berdiri menangani sebarang isu yang berbangkit.