Audit tenaga kerja

10/09/2013 16:11

Seorang rakan mohon berbincang tentang skop penyelidikan yang wajar dalam bidang pengurusan dan pentadbiran pendidikan khususnya pengurusan sumber manusia untuk diketengahkan sebagai fokus kajian di peringkat ijazah doktor falsafah. Kebetulan sememangnya saya sangat berminat dengan pengurusan dan pentadbiran organisasi, maka perbincangan menjadi terangsang dan rancak. Saya mencadangkan agar beliau memberi fokus kepada elemen audit tenaga kerja dalam pengurusan sumber manusia.

Audit tenaga kerja ini dicadangkan atas rasional kenyataan masalah bahawa sering berlaku kelewatan pengisian jawatan yang telah dikosongkan terutama jawatan-jawatan yang dipertanggungjawab untuk mengetuai mana-mana unit atau jabatan. Di sekolah misalnya, kita sering dikhabarkan tentang kekosongan pengetua atau guru besar untuk satu jangka masa yang lama. Situasi ini telah menyebabkan keputusan-keputusan penting tentang dasar sekolah tidak dapat dibuat terutama aspek kewangan. Pembelian dan pembayaran tidak dapat dibuat dan sebagainya. Kenapa kelewatan ini berlaku? Mungkin disebabkan oleh masalah sistem audit tenaga kerja tidak berfungsi dengan baik atau sering mengalami gangguan disebabkan kerenah birokrasi. Oleh sebab itu, ia perlu kepada kajian yang adil dan terbuka.

Audit tenaga kerja tersangat penting. Ia membawa maksud pengurusan pusing ganti perjawatan dalam sesebuah organisasi telah diatur atau disusun mengikut piawai yang telah ditetapkan oleh organisasi seperti kekakanan dan prestasi kerja. Maksudnya sesuatu jawatan dalam organisasi sudah mempunyai senarai calon yang telah dikenalpasti untuk mengambilalih tanggungjawab jika berlaku pergerakan atau rombakan perjawatan. Sebagai contoh, jika Ketua Jabatan bertukar, maka calon B, C dan D telah tersedia menunggu giliran untuk dilantik. Amat memudahkan lagi apabila pihak pengurusan tertinggi organisasi dapat membuat perlantikan kesemua jawatan yang dikosongkan secara serentak pada hari yang sama, bukan pada tarikh yang sama kerana amalan mengundurkan tarikh lantikan ke belakang telah menyebabkan kelompangan tetap berlaku.

Audit tenaga kerja sangat penting untuk:

  1. Menjimatkan masa melantik pengganti sesuatu jawatan,
  2. Mengisi kekosongan jawatan dengan kadar segera tanpa perlu membuat penilaian semula,
  3. Meningkatkan keberkesanan proses take off sesuatu tanggungjawab dengan sifar gangguan,
  4. Menyediakan calon-calon yang berwibawa bagi menangani tugas-tugas dalam organisasi,
  5. Mengelak daripada kelompangan pengisian jawatan untuk suatu tempoh yang lama,
  6. Mengelak penangguhan proses pembuatan keputusan dasar kerana ketiadaan orang yang dipertanggungjawabkan
  7. Menjamin kesinambungan perjalanan urusan-urusan organisasi dengan tenang.

Semoga dengan cetusan idea mudah ini akan membuka ruang pemikiran dan perkongsian ilmu demi kebaikan bersama.