1. Penetapan aras bagi setiap Hasil Pembelajaran

25/02/2013 20:47

 

Analisis terhadap dokumen RPH mendapati bahawa penetapan atau pemilihan aras tidak menepati susunan aras kesukaran. Kecelaruan aras bagi HP telah menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak berjalan lancar, hambar dan antiklimaks. Penyusunan aras sangat mempengaruhi aliran proses P&P. Kajian ini juga mendapati bahawa GPP kurang prihatin tentang hubungan antara pengetahuan sedia ada (PSA) dengan aras hasil pembelajaran (HP). Masalah ini telah menyebabkan aras yang dinyatakan dalam HP telah dicapai sebelum sesi P&P dijalankan. Berdasarkan temu bual dengan GPP didapati bahawa mereka tidak arif tentang apa-apa asas untuk menentukan aras kesukaran terutama Taksonomi Bloom dan kedapatan GPP yang tidak pernah mendengar teori tersebut. GPP juga menjelaskan bahawa pemilihan aras HP semata-mata berdasarkan cadangan aras yang disediakan dalam buku Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) dan GPP tidak membuat sebarang ubah suai kerana bimbang menyalahi prosedur penggunaan HSP. GPP juga didapati sukar untuk mengolah pernyataan aras dalam Bahasa Arab kerana kurang menguasai bahasa ini.  Sementara analisis ke atas dokumen modul interaksi pula mendapati teori Taksonomi Bloom akan dibincang pada interaksi bersemuka pada akhir pengajian iaitu setelah GPP selesai menjalani praktikum.  Di samping itu, contoh HP yang terdapat dalam modul juga didapati tidak menjadikan Taksonomi Bloom sebagai asas yang diambil kira.  GPP juga menjelaskan bahawa mereka tidak banyak memperoleh input semasa interaksi bersemuka kerana kaedah pengajaran yang kurang berkesan dan jadual interaksi yang terlalu padat.  Sementara itu bimbingan awal oleh GP di sekolah bagi program LPBS didapati kurang memberikan penekanan aspek ini.  Didapati GP dan GPP tidak mengambil peluang program LPBS ini memberi dan mendapatkan bimbingan awal yang menjurus kepada masalah ini.