Research

HIMPUNAN ABSTRAK KAJIAN

2012-01-26 13:59

Dalam ruang ini saya persembahkan abstrak kajian-kajian yang telah saya jalankan untuk kegunaan para pelanggan maya sebagai sumber rujukan. Memandangkan ruang maya ini yang terhad, maka teks penuh tidak dapat dimuatnaik untuk rujukan lanjutan. Namun begitu para pelanggan boleh menghubungi saya untuk mendapatkan teks penuh tersebut melalui emel saya. Semoga perkongsian ini akan meningkatkan profesionalisme kita.

Untuk mendapatkan teks penuh kajian, sila hubungi saya melalui emel: ustadki@gmail.com

 

 

Research

Kelemahan Aplikasi Kemahiran Berfikir Dalam Kalangan Calon Cemerlang Praktikum

25/10/2015 11:19

Analisis Kelemahan Amalan Menerapkan Kemahiran Berfikir Dalam Pengajaran

Oleh Calon Cemerlang Praktikum Pendidikan Islam PISMP IPG Kampus Sultan Abdul Halim*

Md Zuki Bin Hashim

IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah, Malaysia

tadsuki@msn.com https://youtu.be/wsh3AGU-lXc

 

Abstrak

 

Kajian ini adalah kajian kes yang bertujuan untuk menganalisis kelemahan amalan menerapkan Kemahiran Berfikir (KB) dalam pengajaran oleh Calon Cemerlang Praktikum Pendidikan Islam (CCPPI). Kajian ini dijalankan ke atas enam orang CCPPI yang sedang menjalani latihan mengajar di sekolah. Data kajian diperoleh daripada temubual dengan CCPPI, pemerhatian ke atas amalan pengajaran dalam bilik darjah dan analisis dokumen Rancangan Pengajaran Harian. Data dianalisis menggunakan perisian NVIVO8.  Kajian ini mendapati wujud kelemahan menerapkan KB dalam amalan pengajaran CCPPI dari segi saranan maklumat awal, diskusi yang kurang mantap dan aktiviti permainan yang tidak berfokus kepada isi pelajaran. Masalah ini berpunca daripada faktor kefahaman CCPPI, kecacatan RPH dan bimbingan oleh Pensyarah Penyelia dan Guru Pembimbing yang tidak berfokus.

 

 

Keywords: praktikum, amalan pengajaran, kemahiran berfikir

 

Kertas ini telah dibentang dalam Seminar Kebangsaan Penyelidikan Pendidikan IPG Zon Utara pada 21 Oktober 2015 di IPGK Tunku Bainin, Pulau Pinang.

Masalah amalan pengajaran dalam kalangan Guru Pelatih Praktikum

07/06/2015 01:28

Masalah Amalan Pengajaran Dalam Kalangan Guru Pelatih Praktikum

Md Zuki Bin Hashim

IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah, Malaysia

tadsuki@msn.com

 

Abstrak

Kajian ini adalah kajian kes ke atas sembilan orang guru pelatih yang sedang menjalani latihan mengajar bagi mengenalpasti masalah amalan pengajaran yang sering dihadapi dan puncanya. Data kajian diperoleh daripada pemerhatian ke atas amalan pengajaran dalam bilik darjah, analisis dokumen dan temubual dengan guru pelatih. Data dianalisis menggunakan perisian NVIVO8 dan rajah Fishikawa.  Kajian ini mendapati enam masalah yang sering dihadapi oleh guru pelatih iaitu kurang mahir membuat penilaian hasil pembelajaran bagi setiap langkah pengajaran, kurang mahir mengurus kepelbagaian teknik pengajaran & pembelajaran, kurang mahir menerapkan kemahiran berfikir, kurang mahir mengelola set induksi, kurang mahir menggunakan Bahan Bantu Mengajar secara berkesan dan kurang mahir mengawal bilik darjah. Masalah-masalah ini berpunca daripada faktor diri GPP sendiri, kemahiran menyelia dan membimbing PP dan GP, modul pembelajaran dan interaksi bersemuka. Penyelidik mencadangkan penyelidikan lanjutan berasaskan kepada setiap masalah yang telah dizahirkan dalam kajian ini.

Keywords: praktikum, amalan pengajaran, kawalan kelas, penilaian aras hasil pembelajaran, tenik pengajaran

 

Abstract

This is a case study on nine trainees undergoing teaching practices to identify problems frequently encountered and their causes.  Data were obtained from observations of teaching practices in the classroom, document analysis and interviews with teachers. Data were analyzed using NVIVO8 software and Fishikawa Diagram. The study found six problems faced by the trainees . They are less skilled to evaluate learning outcomes for each step of teaching, lack of skills to manage diversity in teaching and learning techniques, less adept at applying thinking skills, less adept at managing set induction, less proficient in the use of teaching aids effectively and unskilled control classrooms. These problems were caused by their own self-GPP, skills to supervise and guide the PP and GP, learning modules and face to face interaction. The researchers suggest that further research is based on any issues that have been disclosed in this study.

 

Keywords: practicum, teaching practices, classroom control, evaluating learning autcomes, teaching techniques

 

Kertas ini dibentang dalam Seminar Antarabangsa Penyelidikan Pendidikan di Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Acheh pada 1 Jun 2015



 

 

Abstrak kajian aplikasi JARAWAK untuk mempertingkatkan kemahiran membuat penilaian aras HP bagi setiap langkah P&P

27/07/2012 08:16

APLIKASI JARAWAK UNTUK MEMPERTINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBUAT PENILAIAN ARAS HASIL PEMBELAJARAN SETIAP LANGKAH DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Oleh;
Ustaz Md Zuki Bin Hashim
Guru Cemerlang
Jabatan Pendidikan Islam & Moral
IPG Kampus Sultan Abdul Halim

ABSTRAK

Kajian Tindakan ini telah dijalankan dengan tujuan untuk mempertingkatkan kemahiran membuat penilaian aras HP bagi setiap langkah P&P dalam kalangan GPP. Berdasarkan pengalaman penyelidik menyelia praktikum didapati GPP tidak mahir membuat penilaian aras HP setiap langkah P&P. Penyelidik telah memerhati amalan membuat penilaian dalam kalangan peserta kajian dan didapati bahawa mereka juga tidak melakukannya kerana sukar untuk membuat penilaian dalam kalangan murid yang sangat ramai kerana akan melibatkan masa yang lama. Penyelidik telah membina modul JARAWAK untuk membantu GPP membuat penilaian aras. GPP telah dibimbing untuk membina JARAWAK bermula daripada membuat ujian pengkelasan murid, menganalisis dapatan ujian, membina JARAWAK dan aplikasi JARAWAK dalam bilik darjah. Kajian ini dijalankan dalam kalangan tiga orang GPP PISMP semester tujuh. Dapatan kajian berasaskan pemerhatian penyelidik terhadap amalan P&P di lapangan dan analisis dokumen RPH. Kajian ini telah mendapati bahawa GPP begitu mahir membina ujian pengkelasan murid dan menganalisis secara lebih bermakna. Dapatan kajian ini juga telah membuktikan bahawa penggunaan modul JARAWAK telah berjaya meningkatkan kemahiran membuat penilaian aras HP bagi setiap langkah P&P dalam kalangan peserta kajian. Dapatan kajian ini diharapkan dapat membantu GPP untuk meningkatkan kemahiran menilai aras HP. Manakala Guru Pembimbing dan Pensyarah Penyelia pula dapat membimbing dan menyelia GPP secara berkesan.

Kata kunci: Aplikasi JARAWAK, kemahiran membuat penilaian aras

Kajian ini telah dibentang dalam Seminar Pembudayaan Penyelidikan peringkat IPG Zon Utara di IPG Kampus Pulau Pinang pada 19 Oktober 2011.

<< 1 | 2 | 3 | 4 | 5 >>