Masalah praktikum

Kertas penyelidikan ini telah diterbitkan dalam Jurnal Penyelidikan Khazanah IPG Kampus Sultan Abdul Halim Jilid 14 Tahun 2010 / 2011. Untuk mendapatkan teks penuh kertas ini, sila emelkan hasrat anda kepada admin.

Masalah praktikum

Abstrak

25/02/2013 20:44

Kajian ini ialah kajian kes ke atas sembilan orang guru pelatih program KPLI LPBS j-QAF yang sedang menjalani latihan praktikum bagi mengenal pasti permasalahan yang sering dihadapi dan puncanya. Kajian ini diharapkan dapat membantu bagi meningkatkan keberkesanan latihan praktikum melalui penyeliaan berfokus. Data kajian diperoleh daripada analisis ke atas dokumen yang terdiri daripada Buku Rancangan Pengajaran Harian dan portfolio yang disediakan oleh guru pelatih. Dokumen sokongan lain yang dianalisis ialah  Struktur Program LPBS, Modul Interaksi j-QAF dan Huraian Sukatan Pelajaran. Data juga diperoleh daripada temu bual dengan guru pelatih untuk mengenal pasti punca setiap masalah praktikum.  Dapatan kajian ini mendapati enam permasalahan yang sering dihadapi oleh para guru pelatih iaitu kecelaruan dalam penetapan aras bagi hasil pembelajaran, kurang berjaya merancang kepelbagaian teknik pengajaran dan  pembelajaran, kurang penerapan kemahiran berfikir, kurang menguasai penulisan refleksi yang bermakna, tiada analisis bermakna setiap ujian yang dijalankan dan kurang mahir dalam penulisan jurnal mingguan yang bermakna.   Kajian ini juga mendapati antara punca permasalahan praktikum ialah bimbingan semasa interaksi bersemuka yang kurang berkesan, latihan praktikum dijalankan sebelum sukatan pelajaran kursus perguruan disempurnakan ketika interaksi bersemuka, tiada pendedahan kemahiran belajar dalam struktur kursus, tiada keselarasan format penulisan refleksi pengajaran dan tiada pendekatan yang jelas tentang kaedah penulisan jurnal. Semoga hasil kajian ini dapat membantu guru pelatih untuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran keguruan yang diperlukan oleh sistem pendidikan arus perdana di Malaysia. Penyelidik mencadangkan penyelidikan lanjutan berasaskan setiap permasalahan yang telah dizahirkan dalam kajian ini.

1. Penetapan aras bagi setiap Hasil Pembelajaran

25/02/2013 20:47

 

Analisis terhadap dokumen RPH mendapati bahawa penetapan atau pemilihan aras tidak menepati susunan aras kesukaran. Kecelaruan aras bagi HP telah menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak berjalan lancar, hambar dan antiklimaks. Penyusunan aras sangat mempengaruhi aliran proses P&P. Kajian ini juga mendapati bahawa GPP kurang prihatin tentang hubungan antara pengetahuan sedia ada (PSA) dengan aras hasil pembelajaran (HP). Masalah ini telah menyebabkan aras yang dinyatakan dalam HP telah dicapai sebelum sesi P&P dijalankan. Berdasarkan temu bual dengan GPP didapati bahawa mereka tidak arif tentang apa-apa asas untuk menentukan aras kesukaran terutama Taksonomi Bloom dan kedapatan GPP yang tidak pernah mendengar teori tersebut. GPP juga menjelaskan bahawa pemilihan aras HP semata-mata berdasarkan cadangan aras yang disediakan dalam buku Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) dan GPP tidak membuat sebarang ubah suai kerana bimbang menyalahi prosedur penggunaan HSP. GPP juga didapati sukar untuk mengolah pernyataan aras dalam Bahasa Arab kerana kurang menguasai bahasa ini.  Sementara analisis ke atas dokumen modul interaksi pula mendapati teori Taksonomi Bloom akan dibincang pada interaksi bersemuka pada akhir pengajian iaitu setelah GPP selesai menjalani praktikum.  Di samping itu, contoh HP yang terdapat dalam modul juga didapati tidak menjadikan Taksonomi Bloom sebagai asas yang diambil kira.  GPP juga menjelaskan bahawa mereka tidak banyak memperoleh input semasa interaksi bersemuka kerana kaedah pengajaran yang kurang berkesan dan jadual interaksi yang terlalu padat.  Sementara itu bimbingan awal oleh GP di sekolah bagi program LPBS didapati kurang memberikan penekanan aspek ini.  Didapati GP dan GPP tidak mengambil peluang program LPBS ini memberi dan mendapatkan bimbingan awal yang menjurus kepada masalah ini.

2. Merancang kepelbagaian teknik pengajaran dan pembelajaran

25/02/2013 20:49

 

Berdasarkan semakan kepada dokumen RPH, kajian ini mendapati bahawa GPP hanya mencadangkan dua atau tiga aktiviti sahaja bagi setiap langkah untuk mencapai HP setiap aras. Kajian ini juga mendapati bahawa aktiviti-aktiviti yang dinyatakan tidak mewakili apa-apa teknik P&P dan telah menyebabkan elemen kepelbagaian teknik tidak wujud secara terancang.  Berdasarkan temu bual dengan guru pelatih, mereka tidak mampu untuk mengolah aktiviti P&P agar mewakili pelbagai teknik pengajaran. GPP juga tidak pernah dimaklumkan bahawa perlunya setiap aktiviti mewakili sesuatu teknik P&P.  GPP juga didapati kurang arif dengan teknik-teknik P&P yang pelbagai.  Mereka hanya menumpukan kepada beberapa teknik yang kerap diguna dan mudah diaplikasi seperti soal jawab dan perbincangan.  Penguasaan Bahasa Arab yang lemah tentang istilah teknik pengajaran dalam kalangan GPP telah menyebabkan mereka tidak berminat untuk mempelbagaikan teknik pengajaran.  Analisis ke atas dokumen modul interaksi mendapati bahawa contoh aplikasi kepelbagaian teknik P&P tidak dizahirkan dengan jelas.  Kajian ini juga mendapati bimbingan awal oleh GP dalam program LPBS tidak memberikan penekanan terhadap aplikasi kepelbagaian teknik P&P. 

1 | 2 | 3 >>