JARAWAK

Kertas penyelidikan ini telah dibentangkan dalam Seminar Pembudayaan Penyelidikan IPGM Zon Utara anjuran IPG Kampus Pulau Pinang pada 19-20 Oktober 2011. Kertas ini telah juga diterbitkan dalam prosdiding seminar tersebut. Untuk mendapatkan teks penuh kertas ini, sila emelkan hasrat anda kepada admin. 

1.      PENDAHULUAN

Latihan mengajar sangat penting untuk membangunkan sumber manusia pendidik yang berkemahiran tinggi dan professional.  Pelbagai kemahiran keguruan diterapkan sepanjang tempoh praktikum dilaksanakan.  Oleh kerana sifat praktikum adalah latihan, maka proses itu telah menzahirkan pelbagai masalah yang berbangkit untuk memantapkan pembentukan insan guru yang terlatih dengan kemahiran keguruan yang kukuh.  Oleh sebab itu adalah diharapkan proses penyeliaan dan bimbingan daripada pihak yang terlibat dapat membantu meningkatkan profesionalisme keguruan kumpulan sasaran.  Institut Pendidikan Guru (IPG) adalah pihak yang dipertanggungjawabkan secara langsung untuk melatih guru-guru praperkhidmatan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam bidang pendidikan di Malaysia.

  

2.      REFLEKSI PENGALAMAN YANG LALU

Saya menyertai IPG sejak tahun 2007.  Sejak itu saya sering diamanahkan untuk menyelia praktikum Guru Pelatih Praktikum (GPP).  Saya telah menyelia praktikum 40 orang GPP sehingga tahun 2010.  Pelbagai masalah dihadapi oleh GPP sepanjang mereka menjalani praktikum.  Kebanyakan masalah dapat diselesaikan setelah diberikan bimbingan.  Masalah yang sangat tegar mengikut pengalaman saya ialah kemahiran membuat penilaian aras hasil pembelajaran (HP) bagi setiap langkah pengajaran dan pembelajaran (P&P).  Masalah ini tetap wujud walaupun telah diberikan bimbingan.  GPP didapati gagal membuat penilaian aras HP pada setiap langkah.  Apabila diminta penjelasan GPP menerangkan bahawa penilaian telah dibuat berdasarkan beberapa andaian.  Setelah diasak dengan beberapa soalan  (argument) akhirnya mereka mengaku tidak membuat penilaian.  Saya telah berjaya menyedarkan mereka kelemahan bahagian ini, tetapi cadangan yang diberikan kepada mereka kurang difahami sepenuhnya.  Oleh sebab itu saya sering memikirkan untuk menghasilkan satu modul sebagai panduan untuk memudahkan mereka melaksanakan aktiviti penilaian aras. 

1.      ISU KEPERIHATINAN / FOKUS KAJIAN 

1.1  Tinjauan masalah

Pada tahun 2011, saya telah diamanahkan untuk menyelia praktikum tiga kumpulan GPP iaitu Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dengan mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) bagi kumpulan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) LPBS SABK dan Program Ijazah Sarjanamuda Perguruan (PISMP) Pengajian Agama.  Kumpulan GPP tersebut mewakili KPLI LPBS SABK (dua orang), KDPM LPBS SABK (tiga orang) dan PISMP (tiga orang).  Sepanjang menyelia ketiga-tiga kumpulan GPP ini, didapati sememangnya mereka tidak membuat penilaian aras HP bagi setiap langkah P&P.

1.2  Analisis tinjauan masalah

Saya merasa ini adalah cabaran yang menyeronokkan untuk ditangani kerana ia menghidupkan pemikiran kritis dan kreatif saya.  Setiap kali tamat sesi P&P saya akan mengemukakan soalan secara berstruktur untuk mengesan amalan penilaian aras HP dalam kalangan GPP.  Temubual dengan GPP direkodkan dan dirumus seperti berikut: 

SOALAN PENYELIDIK

JAWAPAN GPP

Ada buat penilaian setiap aras?

Ya

Berapa orang telah capai aras satu?

Semua pelajar capai.

Mana tahu semua telah berjaya capai?

Aras satu memang semua boleh capai.

Apa kumpulan sasaran  aras satu?

Lemah.

Berapa orang pelajar lemah dalam kelas ini?

Kelas ni ada lebih kurang 10 orang.

Siapa dia?

Ada tu tadi beberapa orang.

Mana senarai nama mereka?

Tidak ada.

Bagaimana tahu mereka lemah?

Sebab dah biasa mengajar mereka.

Ada buat ujian pengkelasan pelajar?

Belum lagi, sebab dalam taqwim, ujian bulanan pada bulan Mac.

Sebenarnya anda main agak saja tentang murid lemah, sederhana dan cerdas kan?

Ya ustaz ( malu-malu )

Mengikuti pengamatan saya, anda tak buat pun penilaian aras kan?

Ya ustaz ( malu-malu )

Kelentong dah kantoi kan?

( Kebenaran terserlah bahawa memang penilaian tidak dibuat ).

Ya ustaz ( malu-malu )

(Demikian sedutan beberapa bahagian daripada kajian ini).

JARAWAK