iKULIAH

Page IKULIAH ini diwujudkan bagi menggarapkan isi-isi penting kuliah atau khutbah Jumaat yang dihadiri oleh admin sebagai perkongsian pintar ke arah memperkayakan diri dengan ilmu dan memperteguhkan iman dengannya. Semoga ia bermanfaat untuk diri admin sendiri dan juga para pelawat laman ini.
 
Penafian:
Intisari yang dipersembahkan dalam ruangan ini bukanlah pandangan, pemikiran dan pendapat admin. Ia merupakan rumusan yang dipetik daripada kuliah-kuliah atau khutbah yang dihadiri oleh admin. Admin sebagai sumber kedua (secondary). Justeru untuk tujuan ilmiah, maka para pembaca mesti mendapatkan sumber pertamanya (primary) terlebih dahulu sebelum dibahaskan atau dijadikan sandaran.

Intisari kuliah atau khutbah

Pengajaran dari peristiwa Israk dan Mikraj

25/05/2014 10:34

Sumber: Khutbah Jumaat
Tarikh: 23/5/2014
Tempat: Surau (Masjid) Al-Maghfirah, Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah.

Intisari 1: 

Rasulullah telah menemui satu kaum yang mengusahakan kegiatan pertanian. Setiap kali mereka menanam bijih benih, maka dengan segera juga ia tumbuh membesar dan menghasilkan buah yang berjujuk-jujuk banyaknya. Lalu Rasulullah bertanya kepada Jibril tentang golongan tersebut. Jibril menjelaskan bahawa mereka adalah golongan yang berjuang di jalan Allah semasa hidup mereka. Mereka berkorban apa sahaja demi mempertahankan agama Allah. Mereka pertaruhkan harta, masa, raja dan nyawa mereka semata-mata mempertahankan agama Allah. 

Rumusannya, jika kita mempunyai sumber kewangan yang banyak, maka sebaiknya kita infaqkan ke jalan Allah untuk umat Islam dan agama Allah. Kebanyakan orang lebih gemar melakukan ibadat untuk dirinya sahaja seperti mengerjakan haji dan umrah berulang kali. Itu semua hanya untuk diri sendiri. Justeru ada baiknya jika perbelanjaan untuk pakej haji dan umrah setelah disempurnakan kewajiapannya untuk pertama kali diinfaqkan ke jalan Allah. Mereka boleh menginfaqkan sebagai derma pembangunan masjid dan surau untuk kemaslahatan umum. Pahalanya akan berganda-ganda apabila ia dimanfaatkan oleh orang lain. Bayangkan jika 10 orang membatalkan hasrat menunaikan umrah sunah dan menyumbangkan peruntukan itu kepada masjid, maka masjid akan memperoleh dana sebanyak RM40,000 jika pakej itu melibatkan perbelanjaan RM4,000 seorang. 

Intisari 2:

Rasulullah telah dibawa melalui suatu kawasan perkuburan. Tiba-tiba baginda tercium bau wangi kasturi pada satu kubur. Rasulullah meminta penjelasan daripada Jibril. Jibril menjelaskan bahawa bau wangi itu datangnya daripada kibir Masyitah iaitu tikang sikat rambut anak Firaun yang telah dihukum mati kerana mempertahankan keyakinan kepada Allah dan menafikan ketuhanan Firaun. Keimanan Mashitah telah terbongkar apabilah dia melatah setelah sikat yang dipegangnya jatuh di hadapan anak Firaun dengan menyebut nama Allah dan memaki Firaun. Mashitah sekeluarga telah direbus hidup-hidup, namun dia tetap mempertahankan keyakinannya kepada Allah.

Rumusannya, di mana pun kita bekerja, walau dengan siapapun kita makan gaji, maka keimanan kita kepada Allah jangan digadaikan. Rezeki berada di bawah kekuasaaan Allah, bukan di bawah naungan manusia. Mashitah bekerja dengan Firaun, makan gaji dengan Firaun dan bekerja dalam istana Firaun tetap juga yakin dengan kekuasaan Allah. Khatib membandingkan dengan masyarakat kita yang bekerja menoreh getah, kebun milik sendiri, dikerjakan sendiri, tetapi apabila diajak menyanggah kemunkaran pemerintah maka ditolak kerana bimbang tidak akan dapat menoreh lagi selepas itu. Berbeza dengan Mashitah yang menjadi kakitangan istana Firaun, kaki dan tangannya sahaja bekerja dan ikut Firaun namun pemikirannya tidak sehaluan dengan Firaun bahkan lidahnya dengan berani menegaskan keimanannya kepada Allah di hadapan Firaun.

Sekian, semoga ia bermanfaat buat kita semua.

<< 1 | 2 | 3 | 4 | 5