Blog

Draf temubual dengan pihak PTS Publishing

09/04/2015 22:41

Berikut saya perturunkan semula draf temubual dengan pihak PTS Publishing (Saya tidak pasti sama ada ia telah disiarkan atau beelum), tetapi temubual ini sudah lama berlalu (9/11/2009).

ISU SOSIAL DALAM KALANGAN PELAJAR

Apakah isu social dalam kalangan pelajar yang mendapat perhatian?

Isu atau gejala ponteng sekolah.

 

Kenapa memilih isu ponteng sekolah?

Isu ini dipilih kerana gejala ponteng sekolah merupakan punca kepada kebanyakan masalah social dalam kalangan pelajar sekolah.  Rasional kedua ialah  kerana gejala ponteng merupakan masalah utama salahlaku pelajar sekolah di peringkat kebangsaan. Rasional ketiga ialah penulis telah menjalankan beberapa kajian berkaitan gejala ponteng sekolah.

 

Di mana kajian dijalankan?

Di beberapa buah sekolah yang mempunyai ciri-ciri demografi berikut:

1.      Majoriti pelajar berbangsa Melayu.

2.      Kedudukan di pedalaman dan berhampiran pekan kecil.

3.      Majoriti waris bekerja sebagai penorah getah, pekebun, petani dan ibu bekerja kilang.

4.      Pelajar dating ke sekolah dengan menaiki bas, dihantar oleh waris, menunggang motosikal, berbasikal dan berjalan kaki.

5.      Jenis sekolah ialah sekolah menengah kebangsaan dua sidang.

6.      Bilangan pelajar antara 1000 – 1500 orang.

 

Apakah dapatan kajian yang telah dijalankan?

Pertamanya, terdapat hari pilihan pelajar untuk melakukan salahlaku ponteng sekolah iaitu Ahad dan Khamis.  Keduanya, terdapat fenomena ponteng ciptaan pihak sekolah sendiri yang tidak disedari apabila pihak sekolah menganjurkan aktiviti besar tanpa mengawal kehadiran dan penglibatan pelajar.  Ketiganya, kesedaran pelajar terhadap pentinynya ujian sangat tinggi. Keempatnya, tiada perbezaan antara pelajar lelaki dan perempuan dari segi salahlaku ponteng sekolah.

 

Apakah langkah cadangan untuk mengatasinya?

Dari segi tindakan strategic, pihak sekolah sepatutnya menggunakan peluang kesedaran yang tinggi dalam kalangan pelajar terhadap pentingnya ujian untuk mengatasi kelemahan yang ada iaitu kadar ponteng yang tinggi pada hari pilihan.  Strategi penstrukturan semula jadual ujian mesti dilaksanakan.  Maksudnya, ujian bulanan hendaklah diadakan pada hari Ahad dan Khamis. 

 

Pihak sekolah juga perlu mengamalkan strategi penglibatan menyeluruh dalam kalangan pelajar apabila mengadakan acara rasmi yang melibatkan keseluruhan pelajar.  Contohnya, apabila pihak sekolah mengurus sambutan Hari Kemerdekaan, maka perlu dipastikan bahawa semua pelajar dilibatkan dalam semua aktiviti pada hari berkenaan.  Seringkali berlaku ialah hanya puluhan pelajar sahaja yang terlibat dalam aktiviti sambutan tersebut manakala bakinya akan hadir sebagai penonton sahaja.  Para penonton ini tidak berminat untuk hadir mungkin kerana sudah dapat menjangka aktiviti yang sama seperti tahun sebelumnya. 

 

Pengetua pula tidak boleh lepas tangan kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) untuk menegaskan kehadiran dan denda kepada mereka yang ponteng.  Jadilah ketua yang bertanggungjawab dan sanggup turun padang mengharungi masalah organisasi secara bersama.  Kewibawaan pengetua diperlukan untuk menangani gejala ponteng sekolah.

 

Semua pihak mesti bertanggungjawab terhadap masalah ponteng pada peringkat perancangan program lagi dan tidak membebankan PK HEM semata-mata. Kenapa pula PK HEM yang mesti bertanggungjawab di atas sikap tidak bertanggungjawab orang lain? Maksud saya, masalah ponteng itu dicipta oleh orang lain, tetapi PK HEM yang terpaksa memerah keringat menanganinya.  Bukankah lebih baik pihak pengelola program bersedia dengan tindakan yang bakal diambil jika pelajar ponteng sekolah pada hari acara dijalankan dan dinyatakan dengan jelas dalam kertas cadangan.  

 

RESPON KEPADA www.cikgumalaysia.com

Saya sudah layari laman ini dan mendapati ianya sangat menarik sebagai forum perbincangan para pendidik dan mereka yang berminat dengan industri ini. Laman yang disediakan sangat baik sebagai medan interaksi para pendidik di ruang maya. Saya mencadangkan supaya beberapa topic perkongsian ditetapkan sebagai tema setiap bulan seperti tema kaedah pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan pendidikan dan pengurusan disiplin pelajar.

 

Saya juga mencadangkan agar ruang khas disediakan kepada para penyelidik untuk memuatkan abstrak kajian mereka.  Abstrak ini sangat penting sebagai rujukan kepada penyelidik sama ada sebagai bahan rujukan literature atau pernyataan masalah kepada kajian yang akan dijalankan.  Justeru itu perlu dipermudahkan prosedur untuk memuatturun abstrak tersebut supaya ia mendatang impak yang maksima kepada laman ini.  Jika prosedur muaturun itu diketatkan adalah dibimbangi ia akan mengecewakan banyak pihak.

 

TUGASAN HAKIKI GURU (Program sekolah dan urusan pejabat)

Bagaimanakah menggalakkan minat pelajar terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P)?

Jawapan yang paling mengikut skema ialah mempelbagaikan kaedah mengajar.  Soalnya bagaimana?  Saya sering fokuskan dalam sesi latihan keguruan yang saya kendalikan ialah aplikasi beberapa kaedah yang mampu membantu guru memperolehi idea untuk kembali kreatif mengendalikan sesi P&P. Pelajar akan ternanti-nanti kehadiran guru ke bilik darjah. Sebenarnya setelah sekian lama mengajar mungkin guru kehabisan idea baru untuk mengolah sesi P&P.  Oleh sebab itu mereka perlu menghadiri kursus aplikasi kaedah mengajar dan bukan teori pengajaran dan pembelajaran. 

 

Bertanggungjawablah seumpama guru yang cemerlang walaupun tidak dianugerahkan gelaran Guru Cemerlang.  Jika anugerah tersebut diperolehi, maka ia merupakan bonus terhadap kerjaya.  Jangan kecewa jika gagal memperolehi anugerah tersebut.  Ia adalah rezeki yang perlu dicari atau bukan ditagih.

 

Saya sarankan kepada para pendidik yang terlibat mengurus istitusi pendidikan agar mendalami ilmu kepengurusan dan kepemimpinan kerana mengurus dengan ilmu tidak sama mengurus dengan pengalaman.  Orang yang mengurus dengan pengalaman akan mengulangi kerja yang sama dengan cara yang sama, kesilapan yang sama dan mutu yang lama.  Manakala orang yang bekerja dengan ilmu akan mengulangi kerja yang sama dengan cara berbeza, kesilapan yang minima, kreativiti yang maksima dan kualiti yang optima.

 

Saya juga sarankan kepada para pendidik agar mengutamakan pendidikan sepanjang hayat.  Tidak perlu memaksakan diri untuk mendalami sesuatau bidang ilmu.  Pilihlah bidang ilmu berdasarkan minat anda.  Manfaatkan ilmu diminati yang diperolehi untuk diaplikasi dalam bilik darjah atau pejabat.  Ilmu yang berbeza jika dimanfaat kepada bidang yang berlainan akan mendatangkan hasil yang luarbiasa. 

 

Dalam usaha menangani masalah pelajar, pihak sekolah disarankan menumpukan ruang dan peluang untuk tindakan strategik yang mampu dikawal pelaksanan dan keberkesanannya.  Pihak sekolah tidak perlu menuding jari kepada peranan pihak luar yang berada di luar kawalan tugas dan tanggungjawab mereka kerana kelak mereka akan kecewa dan masalah tidak terbendung.

 

Bagaimanakah meningkatkan keberkesanan pengurusan pejabat?

Kalau saya berkemampuan, saya akan mewajibkan semua pemimpin yang ada di sekolah dan institusi pendidikan supaya mendalami ilmu pengurusan sumber manusia sekurang-kurangnya di peringkat sijil atau diploma.  Bagaimana mereka akan mengurus tenaga kerja mereka sedangkan mereka sendiri tidak arif bidang tugas pengurus sumber manusia?  Pengalaman saya mendalami ilmu pengurusan sumber manusia di peringkat sarjana telah menyerlahkan banyak kepincangan yang sedang berlaku di institusi pendidikan.  Saya mohon sangat agar bakal pengetua yang dilantik diberi ruang untuk menyambung pengajian peringkat sijil atau diploma di bidang pengurusan sumber manusia.  Ia sangat bermanfaat.

 

PESANAN KEPADA WARIS

Apakah pesanan kepada waris?

Apa pun masalah anak-anak, ia sebenarnya bermula dari rumah.  Keadaan di rumah seringkali mempengaruhi sikap dan kegiatan pelajar di luar rumah.  Berilah perhatian kepada anak-anak dengan mengutamakan tindakan-tindakan prihatian seperti cadangan berikut:

1.      Menyediakan makanan daripada air tangan sendiri.

2.      Sediakan sarapan pagi sebelum anak-anak ke sekolah dengan seringkas buah kurma dan air zam-zam untuk memberikan tenaga bagi membangkitkan kesediaan belajar dalam kalangan anak-anak.

3.      Mengarah dengan gurauan tanpa tengkingan yang menimbulkan suasana tegang.

4.      Memboncengkan anak-anak dengan motosikal agar keakraban dapat dirasai.

5.      Mengamalkan bacaan ayat Al-Quran yang berkaitan dengan pendidikan seperti Surah Maryam, Surah Luqman dan Surah Taha.

6.      Pastikan anak-anak berada di rumah pada masa yang sepatutnya mereka berbuat demikian.  Belajarlah untuk bersusah hati jika anak tiada di rumah pada masa berkenaan terutama waktu malam.  Carilah mereka dan pujuklah mereka balik ke rumah.

7.      Kawallah anak-anak dengan kawalan rasional atau bukan emosional.

8.      Jadilah ketua keluarga ( parent ) ketika anak-anak masih kecil dengan menentukan nilai boleh dan tidak boleh sebagai panduan mereka dengan alasan yang munasabah. 

9.      Jadilah rakan kepada anak-anak apabila mereka mencapai usia remaja.  Berkongsilah perbincangan dengan mereka secara hikmah.

10.  Jadilah kanak-kanak kepada anak-anak apabila mereka sudah dewasa agar  mereka akan mencurahkan kasih sayang sepertimana kita memberikannya kepada mereka.

 

LUAR TOPIK PENDIDIKAN

 

Terdapat beberapa amalan yang sedang saya usahakan untuk diri saya dan keluarga saya hindari bagi menjarakkan kami dari pengaruh penjajahan Yahudi iaitu:

1.      Tidak memakai tali leher kerana ia membawa bentuk Y (Yahudi) yang menjerut leher umat Islam sepanjang memakainya. Terima kasih kepada Datok Seri Rais Yatim kerana telah berjaya  mengusahakan pakaian yang lebih berkonsepkan budaya masyarakat Islam.

2.      Tidak mengangkat tangan dengan tanda peace atau victory apabila berjaya dalam sesuatu perkara kerana lambang yang dijulang sebenarnya huruf Y (Yahudi).

3.      Mengelak daripada menggunakan injin carian internet atau emel yahoo kerana ia mendokong perkataan Yahudi.

 

Saya juga sedaya mungkin berusaha bersama keluarga saya untuk mengelak daripada membeli barang-barang di kedai yang ada menjual arak termasuk pasaraya dan mini market.  Oleh itu, walaupun harga di mini market milik muslim mahal sedikit daripada pasaraya besar yang menjual arak, saya tetap mengutamakannya.  Saya dan keluarga tidak mahu berlibat penyokong kepada penjualan produk haram.

 

Akhir sekali untuk sekadar renungan dan pertimbangan umat Islam bahawa terdapat beberapa istilah yang perlu didifinisi semula iaitu:

1.      Terjemahan Allahu Akbar. Saya cenderung untuk menterjemahnya sebagai Allah Maha Agung kerana terjemahan Allah Maha Besar mendatangkan implikasi bahawa Allah dapat digambarkan besar kecilnya.  Manakala perkataan agung hanya dapat dirasai kehebatannya dan bukan digambarkan.

2.      Penggunaan istilah Allahyarham kepada orang yang mati.  Contohnya, Allahyarham telah meninggal dunia akibat pendarahan teruk di kepala.  Allahyarham membawa maksud Allah yang memberi rahmat.  Jika saya baca bersama ayat tadi, maka begini jadinya: Allah yang  memberi rahmat telah meninggal dunia akibat pendarahan teruk di kepala.  Dahsyat maknanya dan boleh merosakkan aqidah umat Islam.

 

Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak PTS kerana telah memberikan ruang dan peluang perkongsian ini kepada saya dan semoga perbincangan ini mendatangkan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Items: 2 - 2 of 28
<< 1 | 2 | 3 | 4 | 5 >>